Projek Baik Pulih GiatMARA Di Putatan, Jeffery Nor Usaha Demi Rakyat

PUTATAN, 23 April – Keprihatinan terhadap kesejahteraan rakyat terus menjadi keutamaan dalam setiap pelaksanaan termasuk usaha baik pulih kediaman demi komuniti setempat mendapat akses kepada kemudahan yang lebih selesa, selamat dan berkualiti.

Ketua UMNO Bahagian Putatan, Jeffery Nor Mohamed yang mengaktifkan gerak kerja turun padang ke beberapa kampung sekitar daerah ini telah meninjau perkembangan projek baik pulih fasiliti yang dilaksana oleh GiatMARA.

Lawatan tersebut melibatkan Kampung Sekambu, Petagas; Kampung Tebongon; serta Kampung Meruntum, dengan fokus utama memastikan kerja-kerja naik taraf berjalan mengikut perancangan dan memberi manfaat kepada masyarakat setempat.

Menurut beliau, usaha penambahbaikan kemudahan GiatMARA amat penting dalam menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif, khususnya kepada golongan belia yang mengikuti latihan kemahiran.

“Saya turun padang meninjau sendiri kerja-kerja baik pulih GiatMARA di beberapa lokasi bagi memastikan pelaksanaannya berjalan lancar. Kemudahan ini bukan sahaja penting untuk pembangunan kemahiran belia, malah memberi impak langsung kepada kesejahteraan penduduk setempat,” katanya.

Di Kampung Sekambu, beliau meneliti kemajuan kerja-kerja baik pulih serta mendapatkan maklum balas daripada pihak pelaksana projek.

Lawatan kemudiannya diteruskan ke Kampung Tebongon bagi melihat perkembangan terkini projek, sebelum ke Kampung Meruntum untuk pemantauan akhir.

Jeffery turut menegaskan komitmennya untuk memastikan setiap projek pembangunan yang dilaksanakan benar-benar memberi manfaat kepada rakyat dan disiapkan mengikut jadual.

“Kita mahu setiap projek yang dilaksanakan bukan sahaja siap tepat pada masanya, tetapi juga mencapai kualiti yang terbaik demi kegunaan jangka panjang masyarakat,” ujarnya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO