UMNO 80 Tahun: Pengalaman Harus Jadi Kekuatan Masa Kini – Yusri Che Noh
KUALA LUMPUR, 23 April – UMNO perlu berhenti bersandar pada nostalgia kejayaan silam, sebaliknya menjadikan pengalaman jatuh bangun sepanjang 80 tahun sebagai asas untuk membina kekuatan baharu dalam menghadapi cabaran semasa.
Ketua UMNO Bahagian Bachok, Datuk Yusri Che Noh berkata, parti itu harus berani melakukan penambahbaikan serta menyusun strategi politik yang lebih tangkas dan kompeten agar kekal relevan dalam landskap politik masa kini.
Menurutnya, pengalaman panjang yang dilalui UMNO tidak seharusnya sekadar dijadikan bahan kenangan, tetapi perlu diterjemahkan kepada tindakan yang lebih realistik dan berpandangan ke hadapan.
“UMNO perlu berhenti bersandar pada nostalgia kejayaan silam. Sebaliknya, pengalaman jatuh bangun selama 80 tahun harus dijadikan pengalaman untuk memperbaiki kesilapan dan membina strategi politik yang lebih tangkas serta kompeten dalam menghadapi cabaran semasa.
“UMNO pernah jatuh bangun sepanjang 80 tahun ini, pengalaman ini mesti diterjemahkan semula sebagai kekuatan untuk menghadapi cabaran masa kini, bukan sekadar disebut sebagai kenangan sejarah.
“Perubahan pendekatan amat penting bagi memastikan UMNO terus mendapat kepercayaan rakyat, khususnya dalam mendepani cabaran politik yang semakin dinamik dan kompetitif,” katanya kepada UMNO Online.
Tambahnya, kekuatan sebenar UMNO terletak pada keupayaan untuk menyesuaikan diri dengan perubahan zaman tanpa mengabaikan prinsip perjuangan yang menjadi teras parti sejak penubuhannya.
Mengulas lanjut kata Yusri lagi, UMNO tidak lagi boleh bergantung kepada identiti politik semata-mata, sebaliknya perlu memberi tumpuan kepada aspirasi generasi muda yang kini menjadi kelompok pengundi terbesar.
“Untuk kekal relevan, UMNO mesti beralih daripada identiti politik semata-mata kepada fokus yang lebih besar terhadap aspirasi generasi muda seperti meritokrasi, integriti, kejayaan ekonomi, dan peluang kerjaya.
“Parti perlu menjadi wadah penyelesaian masalah rakyat, bukannya sekadar platform politik tradisional,” katanya lagi.
Justeru kata beliau lagi, keupayaan parti untuk menyesuaikan diri dengan tuntutan semasa akan menjadi penentu utama sama ada UMNO mampu kembali meraih kepercayaan rakyat pada masa hadapan. – UMNO Online
