Gangguan Bekalan Air: Ranhill SAJ Pindah, Pasang Set Loji Penyahgaram Di LRA Lok Heng
KUALA LUMPUR, 22 April – Syarikat pembekal dan pengendali tunggal bekalan air bersih Johor, Ranhill SAJ kini sedang memindahkan set loji penyahgaram ke Loji Rawatan Air (LRA) Lok Heng untuk menyelesaikan masalah bekalan air yang dihadapi oleh Felda Lok Heng serta Waha.
Ahli Parlimen Kota Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menerusi hantaran di laman Facebooknya berkata, pelbagai usaha mitigasi telah dilaksanakan untuk mengatasi masalah tersebut namun terdapat permasalahan berlaku.

“Cuaca kering berpanjangan telah menyebabkan paras air Sungai Ulu Sedili Kecil merosot dengan ketara sehingga tidak lagi mampu menampung keperluan operasi LRA Lok Heng, seterusnya mengakibatkan gangguan bekalan air di kawasan Felda Lok Heng dan Felda Waha, Kota Tinggi serta menjejaskan lebih 4,000 pengguna.
“Pelbagai usaha mitigasi telah dilaksanakan sebelum ini oleh Kerajaan Negeri Johor bersama pihak berkaitan, termasuk penggunaan air bawah tanah melalui telaga tiub dan percubaan pemindahan air dari Sungai Lukah.
“Namun begitu, kedua-dua kaedah tersebut tidak dapat diteruskan berikutan keadaan sumber air yang terhad, selain tahap kemasinan tinggi di Sungai Lukah yang tidak sesuai untuk dirawat menggunakan fasiliti sedia ada di LRA Lok Heng,” katanya.
Beliau yang juga Naib Presiden UMNO memaklumkan bahawa usaha pembenihan awan akan dilakukan selama tiga hari berturut-turut untuk menyelesaikan masalah tersebut.

“Sebagai langkah penyelesaian segera, Ranhill SAJ kini sedang memindahkan dan memasang set loji penyahgaram dari Forest City ke LRA Lok Heng. Loji itu dijangka mampu menghasilkan sekitar dua juta liter air terawat sehari.
“Usaha ini diharapkan dapat membantu memulihkan dan menstabilkan semula bekalan air secepat mungkin, sekaligus mengurangkan kesulitan yang dihadapi penduduk terjejas di kawasan berkenaan. Saya difahamkan pelaksanaan loji penyahgaram menghadapi kelewatan sedikit.
“Saya juga ingin memaklumkan bahawa hari ini dan esok, 22 dan 23 April, tindakan pembenihan awan akan dilakukan. Tarikh ini dipilih kerana sebelum ini didapati awan di kedua-dua kawasan ini nipis dan tak sesuai untuk dilakukan pembenihan awam.
“Marilah sama-sama berdoa dan memohon kepada Ilahi agar cabaran gangguan bekalan air ini dapat diatasi,” katanya lagi. – UMNO Online
