UMNO 80 Tahun: Wanita Bukan Sekadar Pelengkap Parti, Penyumbang Hala Tuju – Wan Mohalina

KUALA LUMPUR, 22 April – Wanita UMNO bukan lagi sekadar pelengkap dalam struktur parti, sebaliknya memainkan peranan penting yang semakin relevan dalam memperkukuhkan perjuangan.

Exco Wanita UMNO Malaysia, Wan Mohalina Wan Mohamad menegaskan bahawa peranan wanita kini bukan sahaja signifikan, malah perlu dilihat sebagai satu kuasa politik yang mampu mempengaruhi hala tuju parti.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Kak Wan berkata, relevan semata-mata tidak mencukupi tanpa pengiktirafan terhadap keupayaan wanita sebagai sebahagian daripada kepimpinan utama.

“Wanita bukan pelengkap parti, tetapi kini memainkan pelbagai peranan yang sangat relevan dalam perjuangan parti. Namun, relevan sahaja tidak mencukupi, sebaliknya kita perlu melihat wanita UMNO sebagai satu kuasa politik dalam parti keramat ini.

“Wanita UMNO memiliki kekuatan tersendiri, khususnya di peringkat akar umbi yang menjadi tunjang kekuatan parti dan sering digeruni pihak pembangkang, tetapi kekangan dari segi penglibatan dalam kepimpinan masih berlaku. Ia bukan hanya di Kedah, malah di banyak tempat lain dan memerlukan sistem serta sokongan yang kukuh.

“Sistem itu perlu ada sokongan bagi kejayaan wanita dalam politik. Kalau kita hendak wanita ini bangkit dan menjadi sebahagian dari kepimpinan tertinggi perlu ada sistem sokongan, bukan sahaja politik ini di dominan oleh pihak lelaki tetapi kekangan juga dari segi kewangan dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada podcast #HitamPutihKelabu UMNO 8 Dekad bertajuk ‘Dimana Wanita Hari Ini? yang disiarkan di Facebook UMNO Online.

Mengulas lanjut, Wan Mohalina yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Sungai Petani berkata, sambutan ulang tahun UMNO ke-80 bukan sekadar menilai panjangnya sejarah, sebaliknya menzahirkan kekuatan prinsip yang dipegang teguh sejak penubuhan.

“Kekuatan sebenar UMNO terletak pada pegangan akar umbi terhadap prinsip perjuangan yang menjadi asas kepada keberanian parti untuk melakukan perubahan mengikut tuntutan semasa.

“UMNO kini giat melaksanakan pelbagai transformasi termasuk memperkukuh penggunaan media sosial bagi menjelaskan isu-isu semasa kepada rakyat serta memperkenalkan sekolah politik sebagai medan melahirkan lebih ramai pelapis kepimpinan, khususnya dalam kalangan wanita.

“Persediaan ini penting bagi memastikan lebih ramai wanita tampil berani dan bersedia untuk berjuang dalam dunia politik. Dengan usaha berterusan ini, kita berharap rakyat akan terus memberikan sokongan kepada UMNO,” ujarnya.

Dalam masa sama, beliau turut mengulas berkaitan penubuhan Rumah Bangsa yang diilhamkan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dianggap menjadi langkah signifikan dalam usaha menyatukan kembali kekuatan parti, dengan konsep keterbukaan kepada semua yang ingin kembali bersama perjuangan.

“Penubuhan Rumah Bangsa yang sentiasa pintunya dibuka luas untuk kembali kepada parti yang diilhamkan oleh Presiden UMNO dan ianya sangat penting untuk UMNO. Parti ini bermuhasabah dan perbaiki kelemahan, ia adalah mesej yang jelas pada rakyat bahawa UMNO berani berubah.

“Ini bukan sekadar sejarah 80 tahun, tetapi tentang keberanian UMNO untuk berubah. Saya berharap mesej ini dapat diterjemahkan dengan jelas kepada rakyat bahawa UMNO benar-benar komited melakukan perubahan,” ujarnya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO