Kerajaan Johor Tumpu Kepada Rakyat, Isu Diperhalusi Secara Menyeluruh
JOHOR BAHRU, 21 April – Mesyuarat Tindakan DUN (MTD) Daerah Tangkak terus menjadi medan penting Kerajaan Negeri Johor dalam memastikan setiap isu rakyat ditangani secara menyeluruh, terselaras dan berimpak tinggi selaras dengan agenda ‘Maju Johor’.
Exco Kerajaan Negeri Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata pendekatan whole-of-government yang digerakkan membolehkan semua agensi bergerak sebagai satu pasukan bagi memastikan setiap masalah rakyat dapat diselesaikan dengan lebih pantas dan berkesan.
“Setiap keputusan bukan sekadar di atas kertas, tetapi dipantau secara berkala supaya pelaksanaannya benar-benar memberi kesan kepada rakyat,” katanya.

Maklumnya, menerusi mesyuarat tersebut, sebanyak 403 isu rakyat telah direkodkan melibatkan DUN Tangkak, Serom, Gambir dan Bukit Kepong; daripada jumlah itu, 67 isu telah berjaya diselesaikan.
“Selain itu, sebanyak 26 isu sedang dalam pelaksanaan dengan nilai peruntukan sekitar RM3.37 juta, menunjukkan tindakan di lapangan sedang berjalan secara aktif dan berfasa. Manakala 84 isu masih dalam siasatan dan 163 permohonan baharu sedang diteliti untuk kelulusan dengan anggaran kos melebihi RM18.1 juta, mencerminkan keperluan rakyat yang terus meningkat dan memerlukan perhatian segera kerajaan.
“Dalam masa yang sama, terdapat 63 isu yang dikategorikan sukar dilaksanakan melibatkan anggaran kos sekitar RM3.5 juta, yang memerlukan pendekatan lebih strategik, termasuk penyelarasan dasar, kajian teknikal serta pertimbangan di peringkat lebih tinggi. Keseluruhan kos yang terlibat bagi semua isu ini dianggarkan mencecah RM29.3 juta, satu angka yang menggambarkan skala cabaran yang sedang kita tangani bersama.”
Bagi Mohd Jafni, angka tersebut bukan sekadar statistik di atas kertas, sebaliknya mencerminkan kehidupan sebenar rakyat di akar umbi.
“Di sebalik setiap angka itu ada kehidupan rakyat. Ada jalan kampung yang perlu dibaiki, ada kemudahan awam yang perlu dinaik taraf, dan ada keselamatan komuniti yang perlu dijaga. Itu amanah kita,” ujarnya.
Jelas beliau, bagi tahun 2026, Daerah Tangkak turut mencatatkan kelulusan 56 projek pembangunan dan naik taraf bernilai RM7.3 juta melibatkan pelbagai agensi seperti JKR, JPS, PBT dan SUK Johor.

“Mesyuarat ini telah meluluskan sebanyak 25 projek keutamaan dengan anggaran kos RM2.5 juta melalui peruntukkan YAB Menteri Besar Johor, ICU Negeri Johor dan MDTangkak Tangkak melibatkan keperluan kritikal seperti baik pulih infrastruktur, kemudahan awam, rumah ibadat serta keselamatan jalan raya.
“Kelulusan ini dibuat berdasarkan keutamaan yang jelas iaitu isu bencana, keselamatan dan pembangunan sosial, supaya setiap peruntukan benar-benar memberi impak terus kepada rakyat,” katanya.
Mohd Jafni menegaskan komitmen berterusan kerajaan negeri untuk memperkukuh peranan MTD sebagai platform penyelesaian masalah rakyat secara langsung.
“Inilah komitmen kita, bekerja, menyelesaikan dan menunaikan janji kepada rakyat,” katanya. – UMNO Online
