UMNO 80 Tahun: Bukan Nostalgia, Tekad Arkitek Masa Depan Negara – TPr Abdul Razak
KUALA LUMPUR, 24 April – Ketua UMNO Bahagian Kepong, TPr Abdul Razak Abdul Rahman menegaskan bahawa tempoh lapan dekad penubuhan UMNO bukan sekadar angka yang tercatat dalam kalendar, sebaliknya menjadi lambang pengorbanan dan ketahanan perjuangan parti itu dalam membina negara.
Jelasnya, perjalanan 80 tahun UMNO sarat dengan liku, cabaran dan pengorbanan yang tidak ternilai.
“Lapan dekad adalah parut perjuangan dan titisan keringat yang membina bumbung negara ini, yang menaungi rakyat dengan kestabilan, memayungi generasi dengan peluang, serta menjadi asas kepada pembinaan sebuah bangsa yang berdaulat dan bermaruah.
“UMNO tidak boleh lagi hanya menjadi ‘penjaga sejarah’. Kita harus menjadi ‘arkitek masa depan’. Kita menyambut lapan dekad ini bukan dengan kenangan, tetapi dengan tekad untuk memugar semula kepercayaan.
“Biarlah usia 80 tahun ini menjadi saksi bahawa akar umbi parti semakin mendalam, namun dahan semakin menjulang ke arah pemodenan dan integriti,” katanya kepada UMNO Online.
Tambah TPr Abdul Razak, beliau menyeru seluruh ahli dan akar umbi parti agar tidak terus terperangkap dalam nostalgia, sebaliknya memberi fokus terhadap agenda masa hadapan, khususnya menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
“Saya tidak mahu ahli parti hanya sekadar bernostalgia, menoleh ke belakang mengenang jasa. Saya mahu kita mula serius memandang ke hadapan, terutamanya menuju ke arah PRU16,” katanya lagi.
Seterusnya, beliau turut mengingatkan bahawa kekuatan UMNO terletak pada ketahanan dan keupayaannya untuk bangkit walaupun berdepan pelbagai cabaran.
“Kepada akar umbi, jangan gentar dengan ombak. Kapal ini sudah menempuh seribu badai, dan ia masih akan terus belayar.
“Demi agama, bangsa, dan tanah air… perjuangan ini belum bernoktah. Kita kembali untuk memimpin, bukan sekadar mengisi ruang. Selamat menyambut Ulang Tahun UMNO Ke-80,” jelasnya lagi. – UMNO Online
