Semoga DSA, NATSEC 2026 Jadi Pemangkin Masa Depan Pertahanan

KUALA LUMPUR, 21 April – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berharap agar penganjuran Defence Services Asia (DSA) dan International Exhibition on National Security for Asia (NATSEC Asia) menjadi pemangkin kepada masa depan negara.

Beliau yang juga Naib Presiden UMNO memaklumkan pameran tersebut telah dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Isnin.

“Kementerian Pertahanan berbesar hati menerima kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi merasmikan pameran 19th DSA 2026 dan 4th International Exhibition on NATSEC Asia 2026 hari ini.

“Penganjuran kali ini berlangsung ketika dunia berdepan cabaran geopolitik, ketidaktentuan ekonomi dan perubahan pesat landskap pertahanan serta keselamatan global.

“Sepanjang empat hari penganjuran, acara ini membuka ruang luas kepada sesi dialog strategik, diplomasi pertahanan, perkongsian pengetahuan, jaringan kerjasama industri dan penerokaan teknologi pertahanan serta keselamatan terkini dari seluruh dunia,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Mengulas lanjut, beliau menegaskan bahawa Malaysia terus diyakini sebagai platform yang stabil, dipercayai dan berkecuali untuk menghimpunkan pelbagai pihak.

“Keyakinan ini turut didorong kekuatan Malaysia sebagai hab pembuatan bernilai tinggi dalam sektor aeroangkasa, semikonduktor dan teknologi maju, disokong oleh budaya ketepatan, kecekapan serta tenaga kerja berkemahiran tinggi.

“Semoga DSA dan NATSEC Asia 2026 menjadi pemangkin kepada masa depan pertahanan dan keselamatan global yang lebih kukuh, progresif dan berdaya tahan,” katanya lagi – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO