UMNO 80 Tahun: Pengalaman Jadi Kekuatan, Terus Relevan- Mohamad Alamin

MELAKA, 21 April – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Mohamad Alamin mengingatkan seluruh ahli parti agar tidak terperangkap dalam nostalgia semata-mata, sebaliknya menjadikan pengalaman silam sebagai panduan untuk memperkukuh langkah ke hadapan.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan Dan Koperasi berkata, sejarah panjang perjuangan UMNO perlu ditafsirkan sebagai sumber kekuatan, bukan sekadar kenangan.

“Jangan kita bernostalgia tetapi jangan lupa pengalaman silam sebagai pengajaran buat seluruh ahli parti. Kita pandang ke belakang sebagai pedoman dan pengajaran untuk terus melangkah ke hadapan dengan satu langkah yang lebih hebat.

“Sama-sama kita jadikan sebagai pengajaran silam sebagai kekuatan bagi parti untuk melangkah terus ke hadapan bagi memastikan UMNO terus relevan di Malaysia.

“Paling penting mampu meletakkan UMNO dalam pentadbiran pusat dengan kedudukan yang lebih kukuh. UMNO pernah lakukan dan insya-Allah… UMNO akan terus relevan sampai bila-bila dan yang penting Melayu dan Bumiputera terus mengharapkan parti ini,” katanya kepada UMNO Online.

Mengulas lanjut, Mohamad yang juga Ketua UMNO Bahagian Kimanis menjelaskan ulang tahun ke-80 UMNO bukan sekadar angka, sebaliknya menjadi cerminan kekuatan pengalaman panjang parti itu dalam mengharungi pelbagai cabaran sejak penubuhannya.

“80 tahun adalah jangka masa yang cukup lama dan sudah cukup meletakkan UMNO pada dasar yang berpengalaman. UMNO banyak pengalaman, jatuh bangun pernah merasa dan bangkit semula serta terus meletakkan parti relevan di hati masyarakat orang-orang Melayu dan bumiputera sehingga ke hari ini.

“Akar umbi parti perlu merenung semula dan menjadikan UMNO tidak dilihat sebagai parti biasa, sebaliknya diangkat sebagai sebuah institusi yang menjadi tempat bergantung harap dalam memperjuangkan agenda Melayu dan Bumiputera.

“Kita perlu menjadikan UMNO sebagai sebuah parti dominan semula dalam pentadbiran kerajaan negeri dan Persekutuan. Inilah yang menjadi agenda utama dan jadikan sebagai titik permulaan untuk bangkit secara berjemaah,” katanya lagi.

Dalam masa sama Mohamad menyifatkan gagasan Rumah Bangsa yang diilhamkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai satu inisiatif luar biasa dalam usaha menyatukan kembali kekuatan parti.

“Rumah Bangsa yang telah diilhamkan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi adalah satu inisiatif yang ‘luar biasa’ untuk melihat Rumah ini yang diharapkan oleh orang-orang Melayu dan bumiputera.

‘This is a right time’… Rumah Bangsa ini sebagai ruang untuk merapatkan kembali hubungan dengan bekas ahli yang pernah menjauhkan diri atau dikenakan tindakan disiplin. Dengan semangat ulang tahun UMNO ke-80, kita perlu mengetepikan segala perselisihan, lupakan persengketaan dan yang penting agenda Melayu dan Bumiputera perlu diutamakan,” tegasnya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO