Gelombang Rumah Bangsa: UMNO Labuan Terima Kembali Pemimpin Akar Umbi
LABUAN, 20 April – Gagasan Rumah Bangsa yang dibawa oleh Presiden UMNO semakin mendapat sambutan sebagaimana di Labuan apabila beberapa bekas pemimpin akar umbi yang sebelum ini meninggalkan parti mengambil keputusan untuk kembali menyertai perjuangan UMNO.
Perkembangan itu dimaklumkan oleh Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO merangkap Ketua UMNO Bahagian Labuan, Datuk Mohd Rafi Alli Hassan, yang menyifatkan kepulangan mereka sebagai isyarat kebangkitan semula UMNO di peringkat akar umbi.

Menurut beliau, detik paling bermakna berlaku dalam Mesyuarat Cawangan UMNO Gersik Baru apabila bekas Ahli Jawatankuasa Pemuda UMNO Bahagian Labuan dan bekas Ketua Pemuda Cawangan, Hassan Razali, kembali ke pangkuan parti selepas pernah berhijrah ke Pas.
“Kembalinya Saudara Hassan bukan sahaja membawa makna besar dari sudut persahabatan, tetapi turut menjadi simbol kebangkitan dan pemulihan keyakinan rakyat di peringkat akar umbi,” kata Mohd Rafi.
Beliau berkata, Hassan yang pernah bersama beliau ketika era kepimpinan Pemuda UMNO Labuan antara tahun 2008 hingga 2018 merupakan seorang tokoh berpengaruh di Kampung Gersik dan dikenali sebagai individu yang komited terhadap masyarakat.
Mohd Rafi berkata, keputusan Hassan dan keluarganya untuk kembali menyertai UMNO dibuat atas keyakinan terhadap pendekatan politik yang dibawa melalui gagasan Rumah Bangsa.

“Apa yang paling menyentuh hati saya ialah apabila beliau sendiri berkongsi bahawa antara sebab utama beliau dan keluarganya kembali adalah kerana pegangan politik yang saya bawa hari ini iaitu menjadikan politik sebagai satu ibadah,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa Rumah Bangsa bukan sekadar slogan politik, sebaliknya menjadi wadah penyatuan yang mengutamakan khidmat kepada rakyat dan perpaduan masyarakat.
“Politik bukan untuk memecah-belahkan, bukan untuk bermusuhan, tetapi sebagai wadah untuk berkhidmat, menyatukan dan membawa kebaikan kepada rakyat,” katanya lagi.
Dalam perkembangan sama, gelombang Rumah Bangsa turut merebak ke beberapa kawasan lain di Labuan apabila Mesyuarat UMNO Cawangan Saguking dan Lajau menyaksikan kembalinya beberapa pemimpin veteran ke dalam parti.
Antara yang kembali ialah Osman Kadir, bekas Ketua Kampung dan bekas Ketua UMNO Cawangan Saguking, selain Ahmad Jais Taib, bekas Ahli Jawatankuasa UMNO Lajau.
Mohd Rafi berkata, kepulangan tokoh-tokoh berkenaan membuktikan keyakinan rakyat terhadap UMNO semakin pulih.
“Apa yang berlaku hari ini bukan sekadar kehadiran, tetapi simbol kepercayaan yang kembali pulih. Rakyat sedang kembali, satu demi satu, kepada perjuangan yang sebenar,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, atas pengenalan gagasan Rumah Bangsa yang menurutnya berjaya menjadi jambatan penyatuan dan memperkukuhkan semula parti dari peringkat akar umbi.
“Gelombang Rumah Bangsa semakin kuat dan menjadi pemangkin kepada kebangkitan UMNO Labuan. Ini bukan penamat, sebaliknya permulaan kepada gelombang besar yang akan menyatukan kembali kekuatan akar umbi,” katanya.
Mohd Rafi turut menyeru seluruh ahli UMNO dan rakyat Labuan supaya terus merapatkan saf serta menjadikan politik sebagai satu ibadah demi masa depan Labuan. – UMNO Online
