MB Pahang Bertemu Menteri KKR, Pembangunan Infrastruktur Untuk Manfaat Rakyat

KUALA LUMPUR, 17 April – Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail telah mengadakan kunjungan hormat kepada Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, di pejabat beliau bertempat di Kompleks Kerja Raya, Kuala Lumpur, hari ini.

Menurut Wan Rosdy, pertemuan ini membuka ruang perbincangan yang amat bermakna, khususnya berkaitan pembangunan infrastruktur yang memberi manfaat langsung kepada rakyat khasnya di negeri Pahang.

“Dalam sesi perbincangan ini, saya turut mengemukakan beberapa keutamaan strategik negeri yang memerlukan perhatian dan sokongan Kerajaan Persekutuan, selaras dengan keperluan semasa serta hala tuju pembangunan negeri Pahang.

“Insya-Allah, melalui jalinan kerjasama yang kukuh dan berterusan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri, segala perancangan yang dirangka ini akan dapat dilaksanakan demi kesejahteraan rakyat serta kelangsungan pembangunan negeri yang mampan,” ujar Wan Rosdy yang juga Naib Presiden UMNO dalam satu hantaran di Facebook.

Terdahulu, dalam statusnya Wan Rosdy yang mewakili Kerajaan Negeri Pahang menjemput orang ramai untuk menghadiri Malaysia East Coast Trade And Entrepreneur Expo 2026 secara percuma yang bermula hari ini hingga esok di Hotel Grand Darul Makmur, Kuantan, Pahang.

Ujarnya lagi, program sedemikian merupakan platform strategik yang menghimpunkan agensi kerajaan, pemain industri serta usahawan dalam memperkukuh jaringan perniagaan, meneroka peluang pelaburan dan memperkasa ekosistem keusahawanan khususnya dalam ekonomi halal.

Begitu juga katanya, sepanjang dua hari penganjuran, pelbagai pengisian menarik disediakan seperti pameran agensi dan usahawan, sesi ‘keynote’ oleh tokoh industri, forum perniagaan berimpak tinggi dan bengkel keusahawanan dan digitalisasi. – UMNO ONLINE

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO