Norliza Angkat PTPTN Jadi Pemangkin Pelajar Lakar Masa Depan Lebih Cemerlang

KUALA LUMPUR, 17 April – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) terus membuktikan komitmennya dalam membantu golongan pelajar yang memerlukan menerusi Program Ziarah Kasih PTPTN apabila tampil menyantuni seorang pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025, Nur Surfina Arissa Shukri Abdullah.

Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim berkata, PTPTN bukan sekadar sebuah institusi pembiayaan pendidikan, sebaliknya mahu menjadi pemangkin kepada pelajar untuk terus bangkit dan melakar masa depan yang lebih cemerlang.

“Kami mahu setiap pelajar tahu bahawa mereka tidak bersendirian. PTPTN akan sentiasa bersama mereka dalam perjalanan pendidikan, khususnya buat mereka yang berdepan cabaran hidup namun tetap mempunyai semangat luar biasa untuk berjaya,” ujarnya.

Terdahulu beliau yang juga Naib Ketua Wanita UMNO Malaysia telah mengadakan sesi ziarah di kediaman Nur Surfina Arissa yang berjaya meraih keputusan 8A dalam peperiksaan SPM, namun berdepan dugaan besar apabila kehilangan ibu tersayang akibat kanser pada 16 Mac lalu, hanya tiga hari sebelum umat Islam menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Menerusi kunjungan tersebut, PTPTN menyampaikan sumbangan berjumlah RM1,000 dalam bentuk Akaun Simpan SSPN Prime bagi membantu persediaan Arissa melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi.

“Sebagai seorang ibu, saya amat tersentuh melihat kekuatan Arissa menghadapi kehilangan insan tersayang pada usia yang muda. Namun di sebalik ujian itu, beliau tetap berjaya membuktikan bahawa kesedihan bukan penghalang untuk mencapai kejayaan.

“PTPTN terpanggil untuk membantu meringankan beban kewangan pelajar ini selain memberi dorongan agar beliau terus bersemangat mengejar cita-cita. Kehilangan ibu merupakan satu ujian besar, namun kami berharap sumbangan ini mampu menjadi pemangkin untuk Arissa bangkit, melangkah lebih jauh dan melakar masa depan yang lebih gemilang,” katanya.

Menurut beliau, PTPTN sentiasa percaya bahawa setiap pelajar berpotensi untuk berjaya sekiranya diberikan sokongan, peluang dan dorongan yang sewajarnya.

Sumbangan menerusi Akaun Simpan SSPN Prime itu diharap dapat membantu meringankan beban persediaan Arissa untuk melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi dan seterusnya merealisasikan cita-citanya.

Turut hadir dalam program berkenaan ialah Pengurus Besar Kanan PTPTN, Wan Zawiah Wan Abu Bakar dan Pengarah Negeri Pejabat PTPTN Pulau Pinang, Muhammad Muhsin Abdul Rahman.

Program Ziarah Kasih PTPTN merupakan antara inisiatif berterusan PTPTN dalam menyantuni masyarakat serta memastikan kebajikan dan masa depan pendidikan anak-anak Malaysia sentiasa diberi perhatian. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO