UMNO ke-80: Semoga Terus Bangkit, Kembali Jadi Sebuah Parti Dominan
BAGAN DATUK, 18 April – Exco Wanita UMNO Malaysia merangkap Ketua Wanita UMNO Langkawi, Hisham Suhaily Othman berharap agar parti akan terus bangkit dan kembali menjadi dominan.
Ujarnya, usia 80 tahun yang bakal dijangkau oleh parti keramat ini sudah semestinya mematangkan lagi UMNO terutamanya dalam memerintah negara.

“80 itu bukanlah satu angka yang kecil. Kalau seorang dewasa yang dah pun melangkaui umur tersebut, sudah semestinya telah melalui liku-liku kehidupan yang mematangkan.
“Begitu juga UMNO. Kita juga sudah matang dan merupakan sebuah parti yang telah lama berjasa kepada agama, bangsa serta tanah air,” katanya kepada UMNO Online.
Mengulas lanjut, beliau turut berharap agar UMNO kembali mendapat tempat di hati rakyat Malaysia pada satu hari nanti.
“Harapan saya, semoga UMNO apabila dah menjangkau hari jadi yang ke-80 ini, ia menjadi sebuah parti yang menjadi kesukaan dan kecintaan daripada rakyat.
“Mungkin liku-liku yang sebelum ini memang ada turun dan naik … ada waktu kita jatuh, ada waktu kita bangun. Harapan saya, semoga selepas yang ke-80 ini UMNO terus bangun dan bangkit untuk menjadi sebuah parti yang dominan di Malaysia.
“Saya ingin mengucapkan selamat menyambut Hari Ulang Tahun UMNO yang ke-80. Semoga parti keramat yang kita cintai ini terus kuat, kukuh dan terus menjadi sebuah parti kebanggaan serta kesayangan seluruh rakyat Malaysia,” katanya lagi.

Untuk rekod, UMNO ditubuhkan pada 11 Mei 1946 hasil daripada penyatuan orang Melayu yang bangkit menentang penubuhan Malayan Union yang mengancam kedaulatan Raja-Raja Melayu dan hak orang Melayu.
Dipelopori oleh Datuk Onn Jaafar, penubuhan UMNO menjadi titik tolak kepada gerakan nasionalisme Melayu yang tersusun dan berpengaruh. Parti ini kemudiannya memainkan peranan penting dalam rundingan kemerdekaan bersama pemimpin seperti Tunku Abdul Rahman, sehingga membawa kepada kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1957.
Sepanjang lapan dekad, UMNO terus menjadi antara tunjang utama dalam pembentukan negara bangsa, memperjuangkan kepentingan orang Melayu dan Bumiputera serta menyumbang kepada kestabilan politik dan pembangunan negara.
Ulang tahun ke-80 ini menjadi detik penting untuk mengenang sejarah perjuangan parti, memperkukuh semangat perpaduan dan merencana masa depan yang lebih inklusif serta berdaya tahan. – UMNO Online
Oleh: Nuralyaa Izzati Azman
