Ahmad Zahid Yakin Kerjasama Sabah – Kerajaan Persekutuan Lancarkan Agenda Pembangunan
KOTA KINABALU, 16 April — Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yakin segala usaha pembangunan yang dirancang di Sabah dapat digerakkan dengan lebih lancar hasil kesefahaman yang terjalin antara kepimpinan negeri dan Kerajaan Persekutuan.
Beliau berkata demikian menerusi hantaran di laman Facebooknya selepas mengadakan kunjung hormat kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor di kediaman rasmi beliau di Sri Gaya, malam tadi.

Menurut Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, lawatan beliau ke Sabah kali ini adalah bagi memenuhi agenda mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Penyerahan Projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) kepada negeri itu.
Dalam pertemuan tersebut, beliau turut menyampaikan nota rasmi penyerahan pelaksanaan projek BALB bagi pihak Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) kepada Hajiji.
“Saya yakin, dengan kesefahaman yang terjalin antara kepimpinan Negeri Sabah dan Persekutuan, segala usaha pembangunan yang dirancang dapat digerakkan dengan lebih lancar demi kesejahteraan rakyat,” katanya.
Beliau berkata, kerjasama erat antara kedua-dua pihak amat penting bagi memastikan pelaksanaan projek pembangunan, khususnya berkaitan bekalan air luar bandar, dapat disegerakan dan memberi manfaat kepada rakyat Sabah.
Tambah beliau, penyerahan projek BALB itu mencerminkan komitmen Kerajaan Persekutuan untuk terus memperkukuh pembangunan asas di Sabah, selain memastikan keperluan rakyat luar bandar diberi perhatian sewajarnya. – UMNO Online
