Perak Sentiasa Bersedia Teroka Peluang Kerjasama Strategik Demi Manfaat Rakyat
KUALA LUMPUR, 16 April – Kerajaan Negeri Perak sentiasa bersedia untuk meneroka lebih banyak peluang kerjasama strategik demi manfaat rakyat, kata Menteri Besarnya, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Menerusi hantaran di laman Facebooknya, Saarani yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak menyifatkan kunjungan hormat Duta Besar Perancis pada Rabu mencerminkan hubungan dua hala yang erat.

“Dalam kesibukan Sidang Dewan Negeri, saya sempat menyantuni TYT Marc Abensour, Duta Besar Perancis ke Malaysia yang melakukan kunjungan hormat di pejabat saya pada Rabu.
“Kehadiran mereka hari ini mencerminkan hubungan dua hala yang erat di antara Negeri Perak dan Perancis,” katanya.
Ujarnya, Perak telah berjaya menarik pelaburan lebih RM200 bagi tempoh 2025 hingga 2029.
“Hasil lawatan kerja Kerajaan Negeri Perak ke Perancis pada Mei tahun lalu, kita berjaya menarik pelaburan lebih RM200 juta daripada Saint-Gobain Group bagi tempoh 2025 hingga 2029.
“Pelaburan ini melibatkan pembangunan kilang berteknologi tinggi di Taman Perindustrian Kanthan, Chemor bagi penghasilan produk papan simen gentian premium.
“Insya-Allah, usaha ini bukan sahaja membuka peluang pekerjaan, malah membawa pemindahan teknologi dan nilai tambah kepada ekonomi negeri,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau turut berharap agar pertemuan tersebut menjadi pemangkin kepada lebih banyak pelaburan pada masa akan datang.
“Negeri Perak sentiasa bersedia untuk meneroka lebih banyak peluang kerjasama strategik demi manfaat rakyat.
“Mudah-mudahan pertemuan ini menjadi pemangkin kepada lebih banyak pelaburan dan kerjasama pada masa akan datang,” katanya lagi. – UMNO Online
