Onn Hafiz Rasmi Bengkel Kepimpinan MCA Johor, Perkukuh Gerak Kerja
JOHOR BAHRU, 16 April – Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi telah menghadiri dan merasmikan Bengkel Kepimpinan MCA Johor dalam usaha memperkukuh gerak kerja Barisan Nasional (BN) Johor, semalam.
Menurut beliau, bengkel berkenaan menjadi platform penting untuk menyelaras strategi serta memperkemas kesiapsiagaan organisasi dalam menghadapi cabaran semasa.

“Barisan Nasional Johor akan terus memperkukuh kerjasama serta memastikan setiap gerak kerja benar-benar memberi manfaat yang dirasai oleh rakyat,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya selepas majlis perasmian bengkel tersebut yang menghimpunkan barisan kepimpinan dan ahli MCA Johor.
Onn Hafiz turut menegaskan bahawa ruang untuk melahirkan generasi pemimpin muda yang berwibawa perlu terus diperluaskan.
Katanya, golongan muda bukan sahaja perlu diberikan peluang, malah perlu dilatih dan dibimbing dari sekarang agar kesinambungan kepimpinan BN kekal segar, dinamik dan sentiasa relevan dengan kehendak rakyat.
“Kita mahu melahirkan barisan pemimpin muda yang mampu meneruskan agenda perjuangan dan pembangunan negeri pada masa hadapan,” katanya.
Beliau percaya bahawa dengan semangat kesepakatan dan kerjasama yang kukuh antara semua pihak, BN Johor akan terus kekal kuat, stabil dan diyakini.

Tambah beliau, keadaan itu penting bagi memastikan agenda pembangunan negeri dapat dilaksanakan dengan baik demi kesejahteraan Bangsa Johor.
“Insya-Allah, dengan kerjasama semua pihak, kita akan terus memastikan Johor bergerak maju dan rakyat terus menikmati manfaat pembangunan yang dirancang,” katanya. – UMNO Online
