Mohd Zaidy Santuni Penduduk Melalui Ziarah Kasih Aidilfitri, Bangkit Isu Jambatan Orang Asli Langkap
JEMPOL, 15 April – Keprihatinan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram Padang, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir terhadap rakyat terus dizahirkan apabila beliau melaksanakan Program Ziarah Kasih Aidilfitri DUN Jeram Padang dengan mengunjungi beberapa penduduk di sekitar Rompin yang sedang berdepan ujian kesihatan.
Program yang berlangsung baru-baru ini menyaksikan beliau turun padang menziarahi Yusof Darus dan Nurul Aswanie Norasih di Taman Melor, selain Siti Faridah Che Lin di Rumah Rakyat Rompin 1.

Mohd Zaidy menekankan bahawa kunjungan tersebut bukan sekadar singgah tetapi meluangkan masa menyelami kehidupan serta memberikan kata-kata semangat kepada mereka dan ahli keluarga.
“Ziarah ini bukan sekadar kunjungan biasa, tetapi sebagai tanda bahawa mereka tidak pernah bersendirian menghadapi ujian ini. Saya berharap mereka dan keluarga terus tabah, kuat dan sentiasa diberikan kemudahan dalam setiap urusan,” katanya.
Beliau berkata, Aidilfitri seharusnya diraikan dengan semangat saling mengambil berat dan menyantuni mereka yang memerlukan perhatian.
“Dalam kegembiraan menyambut Syawal, jangan kita lupakan saudara-saudara kita yang sedang diuji. Sedikit sokongan dan kehadiran mampu memberi kekuatan besar kepada mereka,” ujar beliau.
Terdahulu, Mohd Zaidy telah meninjau tapak pembinaan jambatan baharu di Kampung Orang Asli Langkap yang sehingga kini masih belum menunjukkan kemajuan ketara walaupun kontraktor telah dilantik sejak September tahun lalu.
Beliau meluahkan rasa kecewa kerana selepas enam bulan berlalu, projek yang amat dinantikan penduduk itu masih berada pada tahap yang tidak memuaskan.
“Enam bulan telah berlalu, namun kemajuan kerja masih tidak memuaskan dan seolah-olah tiada kesungguhan untuk menyiapkan projek ini. Penduduk di Kampung Orang Asli Langkap sangat memerlukan jambatan ini bagi memudahkan urusan harian mereka,” katanya.

Menurut beliau, kelewatan tersebut memberi kesan besar kepada kehidupan penduduk setempat, khususnya apabila jambatan itu merupakan laluan penting untuk ke sekolah, mendapatkan rawatan, urusan pekerjaan serta membawa hasil kampung.
Mohd Zaidy menegaskan bahawa beliau akan segera mendapatkan laporan penuh berkaitan projek yang berada di bawah seliaan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Jempol dengan melibatkan peruntukan sebanyak RM1 juta.
“Saya akan berhubung dengan JPS untuk mendapatkan penjelasan dan laporan penuh mengenai status pembinaan ini. Sekiranya kontraktor yang dilantik gagal menunjukkan prestasi dan komitmen sewajarnya, tindakan tegas termasuk penamatan kontrak perlu dipertimbangkan,” tegasnya.
Beliau turut berharap semua pihak yang terlibat dapat memandang serius isu berkenaan demi memastikan kebajikan masyarakat Orang Asli terus terbela.
Mohd Zaidy juga menegaskan komitmen untuk terus turun padang menyantuni rakyat serta memantau isu-isu setempat diteruskan agar kebajikan masyarakat di DUN Jeram Padang sentiasa terbela. – UMNO Online
