Keyakinan Terhadap Najib Razak Tidak Luntur, Hadapi Perbicaraan – Ahmad Maslan
KUALA LUMPUR, 14 April – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan menegaskan bahawa keyakinan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak terus utuh dalam kalangan penyokong, khususnya Kelab Sahabat Najib Razak 87.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya berkata, keberanian Najib Razak untuk terus berdepan proses perundangan di mahkamah menjadi bukti jelas bahawa beliau yakin tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dikenakan.
“Kelab Sahabat Najib Razak cukup yakin bahawa beliau tidak bersalah walaupun sedang menjalani hukuman. Kalau mereka tak bersalah, kenapa mereka lari.
“Kalau mereka yakin benar, baliklah… bela diri. Yang bersalah ialah yang lari. Najib Razak pula berani turun naik mahkamah saban tahun dan yakin bahawa tidak bersalah.
“Ada beberapa orang yang lari tidak balik-balik dan Najib Razak berhadapan di mahkamah kerana keberaniannya dan keyakinannya bahawa beliau tidak bersalah,” katanya kepada UMNO Online.
Terdahulu beliau menyempurnakan perasmian Mesyuarat Agung Dwitahunan Kelab Sahabat Najib Razak 87 yang dilaksanakan di Menara Dato Onn, hari ini.
Turut hadir, Datin Seri Rosmah Mansor; Presiden Kelab Sahabat Najib Razak 87, Datuk Seri Abdul Rahman Bakar; bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman; bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah serta pimpinan dan peserta.
Dalam pada itu, Ahmad juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor turut menzahirkan doa dan harapan agar kesejahteraan Najib sentiasa terpelihara serta diberikan keadilan sewajarnya.
“Saya doakan kesejahteraan Najib Razak dan mudah-mudahan ada cahaya di hujung terowong terhadap pembebasan beliau, dengan pelbagai kaedah yang difikirkan, maka kita terus berdoa untuk beliau,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Pontian itu menjelaskan, pelaksanaan GST sebelum ini bukan sahaja berkait rapat dengan pentadbiran terdahulu, malah beliau sendiri turut terlibat secara langsung dalam pelaksanaannya.
“GST ini sinonim dengan kepimpinan Najib Razak dan saya sendiri terlibat secara langsung. Sebab itu saya tegaskan bahawa GST adalah lebih baik berbanding SST.
“Apabila rakyat sudah merasai GST dan kini merasai SST, mereka boleh membuat perbandingan sendiri. Dari situ, mereka akan faham bahawa GST sebenarnya lebih baik daripada SST,” jelasnya.
Tambah beliau lagi, terdapat persepsi terhadap GST kini dilihat semakin berubah apabila pelbagai pihak termasuk badan-badan perniagaan utama mula menyuarakan sokongan agar sistem percukaian itu dikembalikan.
“Dulu orang benci GST, tetapi baru-baru ini, Dewan Perniagaan Melayu, Dewan Perniagaan Cina, Dewan Perniagaan India, Dewan Perdagangan Antarabangsa, Federation of Manufacturers Malaysia (FMM) serta World Bank yang berpusat di Kuala Lumpur menginginkan GST dikembalikan,” ujarnya lagi. – UMNO Online
