KUSKOP Perkasa Ekosistem Usahawan Dan Pelancongan Sabah Sempena TMM 2026
KOTA KINABALU, 13 April – Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Mohamad Alamin telah mengadakan kunjungan hormat ke atas Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin bagi membincangkan usaha memperkukuh sektor pelancongan dan keusahawanan di negeri ini, baru-baru ini.
Menurut Mohamad yang juga Ahli Parlimen Kimanis, sektor pelancongan merupakan antara tulang belakang ekonomi Sabah yang perlu terus diperkukuh melalui penglibatan aktif usahawan dan koperasi.

Ujarnya, pertemuan tersebut menzahirkan komitmen berterusan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dalam memperkasa pemain industri pelancongan, khususnya melalui pelbagai inisiatif melibatkan akses pembiayaan, pemerkasaan ilmu keusahawanan serta penerapan urus tadbir kewangan yang lebih sistematik dan mampan.
“Usaha memperkasa usahawan dan koperasi dalam sektor pelancongan adalah penting bagi memastikan mereka lebih berdaya saing, inklusif dan bersedia merebut peluang peningkatan kehadiran pelancong sempena Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya.
Beliau turut menambah bahawa KUSKOP komited untuk memastikan pelbagai inisiatif di bawah agensi kementerian dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh para usahawan dalam mendepani cabaran kos operasi semasa, termasuk kenaikan harga minyak dunia yang memberi kesan kepada industri pelancongan.

Dalam pertemuan itu, turut dibincangkan langkah strategik bagi memperkukuh perkhidmatan KUSKOP agar lebih mudah diakses oleh usahawan, khususnya dalam meningkatkan daya tahan industri pelancongan negeri.
Rombongan KUSKOP turut disertai beberapa agensi utama termasuk Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Bank Rakyat, Institut Koperasi Malaysia (IKMa), TEKUN Nasional, Pusat Khidmat Kontraktor (PKK), SME Corp Malaysia, Perbadanan Nasional Berhad (PERNAS) dan ANGKASA. – UMNO Online
