Arus Sokongan Orang Muda Bantu Kemenangan BN Di PRK Rantau


REMBAU, 6 April – Pemuda Barisan Nasional (BN) yakin perkembangan semasa yang telah berlaku di peti-peti undi saluran muda di dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands dan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih juga akan wujud di Rantau.

Naib ketuanya, Shahril Sufian Hamdan berkata, ini berdasarkan penerimaan golongan muda terhadap calon BN, Datuk Seri Mohamad Hasan atau lebih dikenali sebagai Tok Mat sepanjang kempen berlangsung.

“Setelah seminggu Pemuda BN, dari parti-parti komponen termasuk dari PAS, berkempen rumah ke rumah, ceramah dan dengan kaedah yang sesuai dengan lokaliti Rantau ini jelas bahawa ‘trend’ yang ada di Cameron Highlands dan Semenyih iaitu ‘trend’ pengundi saluran orang muda menjadi kekuatan kepada Barisan Nasional, nampaknya ‘trend’ itu juga wujud di Rantau.

“Tetapi kita tidak boleh terlalu yakin, terlalu selesa cuma (penerimaan) amat positif dan kita InsyaAllah akan teruskan kempen dan pastikan ia akan diterjemahkan pada 13 haribulan nanti untuk kemenangan Tok Mat,” ujarnya kepada UMNO-Online, ketika ditemui di Bilik Gerakan Pusat Daerah Mengundi (PDM) Sri Lalang, di sini, baru-baru ini.

Berhubung dengan tahap kesediaan jentera parti bagi memobilasikan pengundi-pengundi yang berada di luar kawasan, Shahril berkata parti mempunyai strategi yang tersendiri untuk dilaksanakan.

“Tanpa terlalu memperincikan strategi tempatan sebab saya rasa perkara tersebut ada yang perlu dirahsiakan, sebagai jentera dari luar yang membantu kempen saya lihat tahap kesediaan jentera tempatan cukup-cukup luar biasa dan ini tidak bermakna di tempat-tempat lain tidak cukup baik, tetapi ada istimewanya di Rantau ini.

“Inilah terjemahan kepimpinan Rembau oleh Tok Mat sendiri yang menampakkan jentera di setiap PDM, Cawangan mempunyai data yang lengkap, perancangan yang rapi bagaimana hendak menyentuh terus kepada pengundi luar.

“Saya yakin pendekatan dan pendampingan kepada mereka sudah jelas perancangannya dan ianya akan dilaksanakan,” jelasnya lagi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian biasa akan diadakan pada 13 April manakala undi awal pada 9 April yang melibatkan seramai 20,926 pemilih layak mengundi bagi PRK DUN Rantau ini mengikut Daftar Pemilih Induk Tahun 2018 yang dikemaskini sehingga 25 Februari lalu, terdiri daripada 20,804 pengundi biasa, 118 pengundi awal dan empat pengundi tidak hadir luar negara.

PRK DUN Rantau diadakan selepas Mahkamah Persekutuan menolak petisyen difailkan oleh SPR dan Mohamad untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Seremban, pada 16 Nov lepas yang mengisytiharkan kemenangan Timbalan Presiden UMNO yang menjalankan tugas presiden parti itu bagi DUN berkenaan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), terbatal dan tidak sah.

Pada PRU-14, Mohamad, bekas Menteri Besar Negeri Sembilan menang tanpa bertanding kerusi tersebut selepas lawannya Dr S Streram daripada PKR dilarang masuk ke pusat penamaan calon oleh pihak SPR ekoran tidak memiliki pas yang dikeluarkan oleh badan pengendali pilihan raya negara itu. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.