Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Parit Yaani ‘Simfoni Kongsi Raya’

KUALA LUMPUR, 23 Mac – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parit Yaani, Datuk Najib Samuri mengajak seluruh warga di kawasan itu untuk bersama-sama memeriahkan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri 2026/1447H peringkat DUN Parit Yaani yang bakal berlangsung dalam suasana penuh kemesraan dan kekeluargaan.

Menurut beliau, sambutan tersebut bukan sahaja menjadi platform meraikan kemenangan selepas sebulan berpuasa, malah turut berperanan sebagai medium mengukuhkan hubungan silaturahim antara pemimpin dan masyarakat setempat tanpa mengira latar belakang.

Majlis berkenaan dijadualkan berlangsung pada 25 Mac 2026 (Rabu), bermula jam 7.30 malam hingga 9.30 malam di Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Hwa Nan, Parit Imam, Batu Pahat.

“Semua warga DUN Parit Yaani khususnya serta penduduk sekitar dijemput hadir bagi bersama-sama memeriahkan sambutan ini. Kehadiran masyarakat amat dialu-alukan bagi menyemarakkan lagi semangat perpaduan dan keharmonian,” katanya.

Tambah beliau, pelbagai juadah menarik akan disediakan untuk para tetamu yang hadir, sekali gus memberi peluang kepada orang ramai menikmati suasana Aidilfitri dalam keadaan santai bersama keluarga dan sahabat handai.

Inisiatif penganjuran majlis seperti ini juga dilihat selari dengan usaha berterusan kepimpinan setempat dalam memastikan hubungan erat antara rakyat terus diperkukuh, di samping memupuk semangat kebersamaan dalam komuniti.

Majlis tersebut dijangka menjadi tumpuan penduduk setempat dan mencerminkan komitmen berterusan kepimpinan DUN Parit Yaani dalam mendekati serta menyantuni rakyat. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO