Aidilfitri Bukan Sekadar Perayaan, Saat Perkukuh Ukhuwah – Akmal Zharif
KUALA LUMPUR, 23 Mac – Ketua Pemuda UMNO Tambun, Akmal Zharif Ahmad Kamal menzahirkan ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh umat Islam, sambil mengajak masyarakat menghayati makna sebenar Syawal sebagai medan memperkukuh silaturahim dan perpaduan.
Menurut beliau, Aidilfitri yang diraikan selepas sebulan menunaikan ibadah puasa bukan sekadar hari kemenangan, sebaliknya menjadi detik penting untuk saling bermaafan, merapatkan hubungan kekeluargaan serta mensyukuri segala nikmat yang dikurniakan.
“Ini adalah saat terbaik untuk kita memperbaiki hubungan, mengeratkan silaturahim dan membina semula jalinan ukhuwah yang mungkin terputus. Dalam masa yang sama, kita diajar untuk terus bersyukur dan menghargai setiap nikmat yang diberikan,” katanya.
Beliau turut mendoakan agar sambutan Syawal pada tahun ini membawa kegembiraan, ketenangan serta keberkatan kepada seluruh rakyat, di samping memperkukuh lagi semangat kebersamaan dalam masyarakat.
Dalam pada itu, Akmal Zharif menyeru agar sambutan Aidilfitri diraikan dengan penuh kesederhanaan berlandaskan konsep wasatiyah, selain mengekalkan nilai kasih sayang dan saling menghormati antara satu sama lain.
“Kita sambutlah Hari Raya ini dengan penuh rasa syukur, sederhana dan berhemah, agar keberkatan Syawal dapat dirasai oleh semua,” ujarnya.
Tambah beliau, Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Tambun turut mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin kepada seluruh umat Islam, khususnya warga Tambun.
“Semoga lebaran ini mengeratkan lagi ukhuwah, memperkukuh perpaduan dan membawa kebahagiaan yang berpanjangan buat kita semua,” katanya. – UMNO Online
