Utamakan Keselamatan Sepanjang Perjalanan Aidilfitri – Ahmad Zahid
KUALA LUMPUR, 19 Mac – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan kepentingan keselamatan jalan raya menjelang sambutan Aidilfitri menerusi pelaksanaan Op Prihatin 2026 oleh Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.
Menurut beliau yang juga Presiden UMNO, operasi tersebut melibatkan seramai 2,364 pegawai dan anggota bersama 650 aset logistik yang akan digerakkan di seluruh negara bagi membantu melancarkan perjalanan orang ramai pulang ke kampung halaman.
“Menjelang Aidilfitri ini, APM akan melaksanakan Op Prihatin 2026 bagi membantu memastikan perjalanan pulang rakyat ke kampung halaman berlangsung dengan lebih selamat,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Tambah beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Mengenai Keselamatan dan Kesesakan Jalan Raya, anggota APM akan menjalankan rondaan, memberikan bantuan kecemasan serta khidmat kepada pengguna jalan raya sepanjang musim perayaan.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan orang ramai supaya sentiasa memandu dengan berhemah serta memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik sebelum memulakan perjalanan.
“Saya ingin mengingatkan semua agar sentiasa memandu dengan berhemah, mematuhi peraturan jalan raya dan memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik sebelum memulakan perjalanan,” ujarnya lagi.
Beliau turut menasihatkan orang ramai agar peka terhadap keadaan cuaca serta mematuhi arahan pihak berkuasa, susulan jangkaan hujan di beberapa kawasan oleh Malaysian Meteorological Department sepanjang musim perayaan.
“Walau apa pun keadaan, keselamatan mesti sentiasa menjadi keutamaan. Saya mendoakan agar semua yang pulang ke kampung halaman dipermudahkan perjalanan, selamat sampai ke destinasi dan kembali semula dengan selamat bersama insan tersayang,” katanya. – UMNO Online
