Tradisi Pulang Ke Kampung Sempena Aidilfitri Satukan Keluarga
KUALA LUMPUR, 19 Mac – Ketua Penerangan Wanita UMNO Malaysia, Datuk Rosni Zahari berkata tradisi pulang ke kampung ketika sambutan Aidilfitri wajar terus dipelihara kerana ia menjadi ruang terbaik untuk mengeratkan silaturahim dalam kalangan ahli keluarga.
Beliau yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Maran berkata kebiasaan tersebut bukan sekadar budaya, malah memberi peluang kepada ahli keluarga untuk bertemu dan berkumpul selepas sekian lama tidak berjumpa.
“Memang tradisinya kita semua akan pulang ke kampung untuk berjumpa dengan saudara mara, mengeratkan silaturahim.
“Saya sendiri sentiasa mengambil berat perkara ini, berkumpul dengan keluarga seboleh mungkin untuk kita meraikan hari lebaran kerana kalau tidak balik raya kita tidak berjumpa dengan mereka,” katanya ketika dtemui UMNO Online.
Sementara itu, Ketua Wanita UMNO Bahagian Kuala Kedah, Datin Noor Hasita Mat Isa turut mengambil kesempatan mengalu-alukan kepulangan anak-anak perantau ke negeri Kedah sempena sambutan Aidilfitri.
Menurut beliau, kepulangan mereka bukan sahaja mengubat kerinduan terhadap keluarga, malah memberi peluang untuk mengeratkan lagi hubungan silaturahim bersama sanak saudara dan sahabat handai.
“Saya ambil peluang untuk mengalu-alukan kepada anak-anak perantau yang berada di luar negeri selamat pulang ke kampung halaman termasuklah di Kedah.
“Negeri ini sangat kaya dengan makanan hari raya yang sedap-sedap belaka, jadi kerinduan terhadap Kedah ini sudah tentunya menggamit kepulangan mereka,” ujar beliau. – UMNO Online
