Syawal Satukan Masyarakat, Kekalkan Nilai Ramadan – Izwan Kamar

KUALA LUMPUR, 20 Mac – Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Jempol, Mohd Izwan Kamar Badri mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh rakyat Malaysia khususnya akar umbi UMNO yang terus menjadi tulang belakang kepada perjuangan parti dan khidmat kepada masyarakat.

Menurutnya, Aidilfitri yang diraikan selepas sebulan menjalani ibadah Ramadan merupakan simbol kemenangan hasil kesabaran, pengorbanan serta keinsafan yang dilalui oleh umat Islam.

“Di kesempatan yang penuh keberkatan ini, saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh rakyat Malaysia, khususnya kepada sahabat-sahabat serta seluruh akar umbi UMNO yang sentiasa menjadi tulang belakang kepada perjuangan dan khidmat kepada masyarakat.

“Aidilfitri yang kita raikan hari ini adalah lambang kemenangan setelah sebulan kita menempuh madrasah Ramadan dengan penuh kesabaran, pengorbanan dan keinsafan. Semoga Syawal yang hadir ini membawa sinar kebahagiaan, kesejahteraan serta memperkukuhkan lagi semangat perpaduan dan ukhuwah sesama kita.

“Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk menasihati seluruh rakyat serta akar umbi agar terus mengekalkan nilai-nilai murni yang telah kita pupuk sepanjang Ramadan. Marilah kita sama-sama menghulurkan tangan membantu mereka yang memerlukan serta mengekalkan semangat kebersamaan, kasih sayang dan keprihatinan dalam masyarakat,” katanya.

Dalam pada itu, Izwan turut menasihati orang ramai yang pulang ke kampung halaman agar memandu dengan berhemah dan mengutamakan keselamatan sepanjang perjalanan.

“Saya mendoakan agar semua yang pulang beraya ke kampung halaman selamat sampai ke destinasi. Pandulah dengan berhemah agar kegembiraan Syawal dapat diraikan dengan penuh makna bersama keluarga tercinta.

“Semoga Aidilfitri ini menjadi medan untuk kita terus memperkukuhkan perpaduan, mempererat silaturahim serta meneruskan semangat khidmat kepada rakyat dan negara. Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin,” jelasnya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO