Pandu Cermat, Utamakan Keselamatan Ketika Pulang Beraya

KUALA LUMPUR, 19 Mac – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Johan Abd Aziz mengingatkan orang ramai khususnya warga kota yang akan pulang ke kampung halaman sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri untuk sentiasa mengutamakan aspek keselamatan sepanjang perjalanan.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Hulu Langat berkata perjalanan pulang ke desa untuk menyambut Aidilfitri bersama keluarga merupakan tradisi yang amat bermakna, namun perancangan perjalanan perlu dibuat dengan teliti bagi memastikan semuanya berjalan lancar.

“Saya ingin menasihatkan semua yang merancang untuk pulang ke kampung supaya membuat perancangan perjalanan dengan teliti.

“Balik kampung memang menjadi tradisi, namun aspek keselamatan perlu diutamakan. Berhati di jalan raya pandulah dengan cermat, patuhi peraturan lalu lintas dan utamakan keselamatan diri serta keluarga supaya selamat sampai ke destinasi,” katanya ketika ditemui UMNO Online.

Dalam pada itu Johan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Dusun Tua turut mengingatkan orang ramai yang meninggalkan rumah untuk tempoh yang lama supaya memaklumkan kepada pihak polis atau mengisi borang pemakluman yang disediakan bagi membolehkan pihak berkuasa meningkatkan rondaan di kawasan kediaman.

Jelasnya, kerjasama antara komuniti setempat dan pihak polis amat penting dalam memastikan keselamatan kawasan perumahan sentiasa terjamin sepanjang tempoh musim perayaan.

“Ini penting supaya rondaan dapat dipertingkatkan dan keselamatan kediaman lebih terjamin.

“Kerjasama antara penduduk dan pihak polis amat penting. Sekurang-kurangnya, apabila pihak polis dimaklumkan tempoh ketiadaan penghuni, mereka dapat memantau kawasan tersebut dan mengambil tindakan sekiranya terdapat perkara yang mencurigakan,” ujar beliau. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO