Bantuan Kasih Johor Lambang Keprihatinan Kerajaan Negeri Terhadap Golongan Memerlukan

JOHOR BAHRU, 9 Mac — Inisiatif Bantuan Kasih Johor (BKJ) bukan sekadar bantuan kewangan semata-mata, sebaliknya menjadi bukti komitmen Kerajaan Negeri Johor dalam memastikan kebajikan rakyat terus terbela, khususnya golongan yang memerlukan perhatian dan sokongan berterusan.

Exco Kerajaan Negeri Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, pelaksanaan inisiatif tersebut mencerminkan keprihatinan kerajaan dalam membantu meringankan beban rakyat serta memastikan tiada golongan yang terpinggir daripada arus pembangunan negeri.

Menurut beliau, bantuan itu juga menjadi antara usaha berterusan kerajaan negeri melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk memastikan kesejahteraan golongan memerlukan, termasuk Orang Kurang Upaya (OKU), terus diberi perhatian.

“Inisiatif seperti Bantuan Kasih Johor ini bukan sekadar bantuan kewangan semata-mata, tetapi merupakan tanda keprihatinan kerajaan terhadap kesejahteraan rakyat, khususnya golongan yang memerlukan perhatian dan sokongan berterusan,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi hantaran di laman Facebooknya selepas menyampaikan Bantuan Kasih Johor kepada 65 pelatih di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Muafakat Permai dengan jumlah keseluruhan bantuan sebanyak RM19,500.

Dalam pada itu, Mohd Jafni berkata Kerajaan Negeri Johor di bawah kepimpinan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi akan terus memastikan agenda kebajikan rakyat kekal menjadi keutamaan.

Tambah beliau, usaha memperkukuh jaringan sokongan kepada golongan memerlukan amat penting dalam membina masyarakat yang inklusif dan sejahtera.

“Kerajaan Negeri Johor sentiasa komited memastikan tiada golongan yang terpinggir. Bantuan seperti ini diharap dapat memberi semangat kepada para penerima dan keluarga mereka untuk terus melangkah ke hadapan dengan penuh harapan,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO