Asna Tempelak Isham: Turunkan Ego, Jangan Rasa Terlalu Suci
KUALA LUMPUR, 9 Mac – Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan, Mohd Asna Amin tampil membidas kenyataan Isham Jalil yang menyarankan agar Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menurunkan ego dan memohon maaf kepada individu yang dipecat atau digantung daripada parti.
Beliau menegaskan bahawa kenyataan Isham bukan sahaja tidak berasas malah dilihat cuba memutarbelitkan realiti sebenar kepimpinan parti yang kini kembali berada dalam kerajaan.
“Saya nak tanya Isham, bila pula Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi perlukan mereka? Presiden dah pun berjaya mengemudi UMNO kembali menjadi kerajaan. Masuk ke, tak masuk ke, beliau kini orang nombor dua paling berkuasa dalam negara.
“Ahmad Zahid Hamidi telah menunjukkan jiwa besar dengan membuka pintu seluas-luasnya kepada mana-mana bekas ahli yang dipecat atau digantung untuk kembali ke pangkuan parti tanpa sebarang syarat.
“Jadi di sini yang perlu turunkan ego bukan Presiden UMNO, tetapi Isham sendiri,” tegas beliau.
Asna yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lenggeng berkata, Isham sepatutnya sedar bahawa tindakan pemecatannya bukan berlaku tanpa sebab, sebaliknya kerana kerap mengkritik parti secara terbuka serta tidak menghadiri beberapa kali dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT).
Beliau juga mengingatkan bahawa bantahan Isham terhadap kerjasama Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) perlu dilihat dalam konteks sebenar selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 apabila tiada parti memperoleh majoriti untuk membentuk kerajaan, sekali gus membawa kepada keputusan yang dibuat selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong (YDPA).
Dalam masa sama, Asna juga Pengerusi Biro Ekonomi UMNO Negeri Sembilan turut menyelar tindakan Isham yang didakwa sanggup berada di pentas pihak lawan dan berkempen memburukkan UMNO.
“Jika benar dalam diri kamu mengalir darah UMNO, tidak mungkin kamu sanggup berlaku khianat dengan berdiri di pentas lawan dan menyerang parti sendiri.
“Video kamu berkempen memburukkan UMNO terlalu banyak di media sosial, malah sanggup menghina parti dengan gelaran ‘UMDAP’,” katanya.
Beliau turut membandingkan sikap Isham dengan beberapa tokoh lain yang pernah digantung atau dipecat, termasuk Hishammuddin Hussein, Tajuddin Abdul Rahman, Khairy Jamaluddin dan Shahril Sufian Hamdan yang menurutnya tidak pernah berada di pentas pihak lawan untuk menyerang parti.
“Pernah kamu lihat mereka berkempen di pentas lawan memburukkan UMNO? Tidak pernah. Hanya Isham sahaja yang berbuat demikian,” katanya lagi.
“Lihat jiwa besar Khairy Jamaluddin antara individu terawal secara terbuka mengumumkan mahu kembali menyertai UMNO menerusi agenda ‘Rumah Bangsa’ setelah Presiden UMNO membuka pintu seluas-luasnya kepada mereka yang pernah dipecat dan digantung keahlian untuk kembali kepada parti tanpa syarat,” ujarnya.
Mengulas lanjut, kata Naib Ketua UMNO Bahagian Seremban lagi, menasihatkan Isham agar berhenti mencari kesalahan orang lain dan sebaliknya bermuhasabah diri.
“Janganlah terlalu cepat berburuk sangka. Zaman ini penuh fitnah dan ramai manusia tersasar daripada kebenaran. Berbicaralah dengan lunak dan rendah hati kerana sifat lemah lembut itu lebih dekat dengan kebaikan,” tegasnya lagi. – UMNO Online
