Perjumpaan Parti Teras Melayu-Islam: Langkah Matang, Berpandangan Jauh
KUALA LUMPUR, 6 Mac – Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Mustapha Nagoor berpandangan bahawa perjumpaan parti teras Melayu-Islam yang berlangsung pada Khamis merupakan satu langkah matang dan berpandangan jauh.
Menerusi hantaran di laman Facebooknya, beliau menyambut baik pertemuan yang berlangsung itu kerana ia memperlihatkan kesediaan pelbagai parti duduk semeja demi masa depan agama, bangsa dan negara.

“Saya menyambut baik kenyataan Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berhubung Musyawarah Isu-Isu Islam dan Bumiputera yang menghimpunkan beberapa parti utama negara seperti UMNO, Pas, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Amanah Negara (PAN) bersama beberapa parti lain yang turut mempunyai komposisi besar masyarakat Islam Melayu dan Bumiputera.
“Inisiatif ini merupakan satu langkah yang amat baik dalam memperlihatkan kesediaan pemimpin pelbagai parti untuk duduk semeja, berbincang secara matang dan mencari titik persamaan demi kepentingan agama, bangsa serta masa depan negara.
“Seperti yang dinyatakan oleh Dr Asyraf, kita mungkin berbeza pandangan dalam banyak perkara, namun apabila melibatkan kepentingan Islam juga kedudukan Melayu dan Bumiputera, semua pihak wajar mengetepikan perbezaan dan memilih jalan musyawarah,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Palong berkata, pendekatan tersebut penting untuk memastikan isu-isu besar yang menyentuh kepentingan umat dapat ditangani secara bersama dengan penuh hikmah.

“Saya juga melihat usaha yang digagaskan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ini sebagai satu langkah yang matang dan berpandangan jauh dalam landskap politik negara.
“Pertemuan yang berlangsung di Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur ini bukan sahaja membuka ruang kepada perbincangan sihat antara pimpinan parti, malah menjadi platform penting untuk memperkukuhkan kesefahaman dalam hal-hal yang melibatkan kepentingan agama, bangsa dan kestabilan negara,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, beliau turut berharap agar semangat musyawarah tersebut akan terus diperkasa agar segala perkara yang melibatkan Melayu-Islam dapat dipertahankan bersama.
“Saya berharap agar pertemuan yang pertama ini mendapat rahmat dan keberkatan daripada Allah SWT serta menjadi titik tolak kepada permuafakatan yang lebih luas pada masa hadapan.
“Semoga semangat musyawarah ini terus diperkasakan agar segala perkara yang menyentuh kepentingan Islam, Melayu dan Bumiputera dapat dipertahankan secara bersama… di samping kita kekal bersikap terbuka dan sedia bertolak ansur dalam perkara yang melibatkan perbezaan pandangan demi kesejahteraan rakyat serta kemakmuran negara,” katanya lagi. – UMNO Online
Oleh: Nuralyaa Izzati Azman
