Program Nur Ramadan: Johari Sampaikan Sumbangan Kepada 300 Asnaf

KUALA LUMPUR, 6 Mac – Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani telah menyampaikan sumbangan kepada 300 asnaf sempena Program Nur Ramadan Wilayah Persekutuan 2026.

Menerusi hantaran di laman Facebooknya, beliau memaklumkan program tersebut dianjurkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“Berkesempatan menyampaikan sumbangan kepada 300 penerima asnaf Parlimen Titiwangsa dalam Program Nur Ramadan Wilayah Persekutuan 2026 anjuran DBKL di Dewan Tasik Ampang Hilir.

“Semoga sumbangan yang disampaikan secara terus kepada golongan yang memerlukan ini dapat meringankan sedikit kos sara hidup mereka, mudah-mudahan, Insya-Allah,” katanya.

Johari yang juga Naib Presiden UMNO berkata, kesejahteraan setiap warga kota sentiasa menjadi keutamaan kerajaan dalam membina sebuah bandar yang lebih prihatin.

“Kesejahteraan setiap warga kota sentiasa menjadi keutamaan kerajaan dalam membina sebuah bandar yang lebih prihatin. Bersama-sama kita membina Wilayah Persekutuan sebagai sebuah kota untuk kita semua.

“Turut hadir Shamsul Joehari Zainal Abidin, Pengarah Eksekutif (Pengurusan Projek) DBKL, Datuk Azizulrahman Mohd Hussain Malim, Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan (MPPWP) Zon Titiwangsa merangkap Ahli Lembaga Penasihat Bandaraya Kuala Lumpur dan Nur Jalilah Md Yoha, Pengurus Pejabat DBKL Cawangan Titiwangsa,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO