Pahang Sumbang Juadah Iftar Kepada 165 Keluarga Di Kem Nuseirat

KUALA LUMPUR, 6 Mac – Kerajaan Negeri Pahang telah menyumbangkan juadah iftar kepada 165 keluarga di Kem Nuseirat, Gaza pada minggu pertama Ramadan.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menerusi hantaran di laman Facebooknya memaklumkan sumbangan tersebut telah dibuat menerusi Pahang4Palestine.

“Alhamdulillah, sumbangan juadah iftar daripada Kerajaan Negeri Pahang menerusi Pahang4Palestine telah berjaya disampaikan kepada 165 keluarga di Kem Nuseirat, Gaza pada minggu pertama Ramadan.

“Pada kali ini, juadah berbuka yang disediakan merupakan nasi bersama ayam goreng.

“Terima kepada para sukarelawan yang telah bertungkus-lumus menyediakan serta mengagihkan juadah ini kepada keluarga-keluarga di sana,” katanya.

Beliau yang juga Naib Presiden UMNO turut berharap agar sumbangan tersebut menjadi saksi kasih, tanda solidariti dan doa yang tidak pernah putus buat saudara-saudara di Gaza.

“Sesungguhnya, apa yang kita hulurkan mungkin kecil nilainya di mata kita, namun besar maknanya buat mereka yang menerima.

“Semoga setiap suapan yang dinikmati menjadi saksi kasih, tanda solidariti dan doa yang tidak pernah putus daripada rakyat Pahang buat saudara-saudara kita di Gaza yang dihimpit kesukaran hidup,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO