UMNO Buka Pintu Penyatuan Tanpa Syarat – Ahmad Zahid
KUALA LUMPUR, 6 Mac — UMNO membuka pintu penyatuan tanpa syarat kepada bekas ahli yang pernah dipecat atau digantung keahlian untuk kembali menyertai parti, selaras dengan semangat Ramadan yang mengajak umat Islam bermuhasabah dan memperkukuh ukhuwah.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, bulan Ramadan yang penuh keberkatan dilihat sebagai waktu terbaik untuk mempertautkan kembali tali perjuangan dalam kalangan ahli parti.

Menurut beliau, sesebuah parti tidak hanya bergantung kepada kekuatan struktur organisasi semata-mata, sebaliknya dibina atas sokongan, dokongan dan kebersamaan seluruh ahlinya di setiap peringkat.
“UMNO membuka pintu Rumah Bangsa ini seluas-luasnya kepada mana-mana bekas ahli yang pernah dipecat atau digantung keahlian untuk kembali bersama perjuangan parti,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Beliau turut memaklumkan bahawa peluang tersebut juga terbuka kepada mana-mana individu yang mahu bersama perjuangan parti untuk menyertai UMNO.
Dalam semangat Ramadan yang penuh rahmat dan keampunan, Ahmad Zahid menegaskan bahawa segala kekhilafan serta perbezaan yang berlaku sebelum ini dimaafkan sepenuhnya demi membuka lembaran baharu dalam memperkukuh kembali keluarga besar UMNO.
Sehubungan itu katanya, Jawatankuasa Rumah Bangsa yang dipengerusikan oleh Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin akan menyelaraskan proses tersebut dengan segera melalui tatacara yang bersesuaian menurut Perlembagaan UMNO.
Ahmad Zahid berharap usaha berkenaan dipermudahkan dan menjadi titik penyatuan untuk memperkukuh kembali kekuatan parti dalam meneruskan agenda perjuangan demi agama, bangsa dan tanah air.
Beliau berkata langkah itu juga penting bagi memastikan masa depan yang lebih baik untuk rakyat dan negara. – UMNO Online
