‘Pertemuan Bersama Parti Islam/Melayu Cipta Sejarah Tersendiri’ – Dr Asyraf
KUALA LUMPUR, 6 Mac – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menyifatkan pertemuan bersama parti-parti teras Islam, Melayu dan bumiputera yang berlangsung pada semalam mencipta sejarah tersendiri.
Beliau yang juga Pengerusi MARA berkata pertemuan yang melibatkan lapan politik utama termasuk UMNO, PAS, PKR, AMANAH, Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS), BERJASA, KIMMA, dan Parti Ikatan Bangsa (IKATAN) itu menjadi wahana penting untuk bertukar pandangan demi kepentingan bersama.
“Saya diamanahkan oleh Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk mempengerusikan musyawarah kali pertama ini yang dicetuskan beliau untuk menghimpunkan pelbagai parti-parti tidak kira dari blok kerajaan mahupun pembangkang demi maslahah ummah dan Islam.
“Musyawarah ini menjadi wahana penting untuk bertukar pandangan secara terbuka demi mencari titik persefahaman dalam perkara-perkara yang menyentuh kepentingan bersama yang melibatkan Islam, Melayu dan Bumiputera di negara ini,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan semua pihak yang hadir turut mencapai kata sepakat untuk menubuhkan Sekretariat Musyawarah Parti-Parti Teras Islam, Melayu dan Bumiputera.
Katanya ia sebagai platform bagi menyediakan ruang perbincangan, perundingan serta dialog terbuka secara berterusan.
“Hakikatnya, dalam sistem demokrasi, parti-parti politik boleh berbeza pandangan sama ada berada di blok kerajaan mahupun pembangkang. Perbezaan itu adalah lumrah dalam politik.
“Namun apabila menyentuh soal kepentingan Islam, kedudukan Melayu serta masa depan
Bumiputera, ia seharusnya menjadi titik temu yang menyatukan kita semua melangkaui perbezaan politik kepartian,” ujar beliau. – UMNO Online
