Keselamatan Siber: MARA Jalin Kerjasama Strategik Bersama UKM, BlackBerry
KUALA LUMPUR, 5 Mac – Majlis Amanah Rakyat (MARA) menjalinkan kerjasama strategik bersama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan BlackBerry dalam bidang keselamatan siber.
Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menerusi hantaran di laman Facebooknya memaklumkan beliau telah menerima kunjungan hormat untuk membincangkan potensi kerjasama strategik tersebut pada Rabu.

“Pagi ini saya menerima kunjungan hormat daripada Naib Canselor UKM, Prof Datuk Dr Sufian Jusoh bersama pasukan mereka dan wakil daripada Syarikat Global BlackBerry untuk membincangkan potensi kerjasama strategik dalam bidang ‘cybersecurity’ serta pembangunan bakat teknologi negara.
“Antara yang dibincangkan ialah cadangan pelaksanaan Program TVET Cybersecurity Training hasil kerjasama UKM dan BlackBerry yang akan memberi latihan berperingkat merangkumi tahap Foundation, Intermediate dan Advanced.
“Program ini akan memberi pendedahan kepada peserta dalam bidang keselamatan siber, forensik digital, ‘penetration testing’, pengurusan risiko siber dan lain-lain bidang terkait melalui latihan teori, praktikal serta projek bersama industri,” katanya.
Dr Asyraf yang juga Setiausaha Agung UMNO berkata, inisiatif tersebut berpotensi untuk membuka lebih banyak peluang kerjaya kepada anak-anak muda khususnya dalam sektor teknologi dan keselamatan siber.

“Berdasarkan unjuran industri di Malaysia memerlukan lebih 26,000 tenaga pakar cybersecurity dan mempunyai peluang pekerjaan yang luas bersama industri-industri terkemuka diperingkat lokal mahupun global.
“Justeru kerjasama strategik antara MARA, UKM dan rakan industri global seperti BlackBerry amat penting bagi memastikan kita mampu melahirkan lebih ramai bakat tempatan yang berkemahiran tinggi untuk memenuhi keperluan negara,” katanya lagi. – UMNO Online
