Tengku Azman Turun Padang, Komitmen Pastikan Bazar Aidilfitri Teratur Dan Selamat

KUALA LUMPUR, 5 Mac – Pendekatan turun padang yang dilaksanakan Ketua UMNO Bahagian Bukit Bintang, Datuk Tengku Azman Tengku Zainol Abidin ke Bazar Aidilfitri di kawasan Masjid India, Jalan Tuanku Abdul Rahman (Jalan TAR) mencerminkan komitmen berterusan dalam memastikan pengurusan bazar berjalan secara teratur, selamat dan mesra peniaga serta pengunjung.

Ujarnya, ini adalah lawatan sulung beliau ke tapak berkenaan sejak pelantikan rasmi sebagai Ahli Lembaga Penasihat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang turut disertai Pengarah Penguatkuasaan DBKL, TPj. Mohd Muzammer Jamaluddin bersama barisan pegawai penguatkuasaan.

Menurut Tengku Azman, kehadiran secara langsung di lapangan amat penting bagi memastikan setiap perancangan dan pelaksanaan dapat dipantau secara menyeluruh selain meninjau sendiri susun atur, aspek keselamatan serta kelancaran operasi.

“Pendekatan turun padang ini mencerminkan komitmen berterusan kita untuk memastikan pengurusan Bazar Aidilfitri berjalan dengan teratur, selamat dan mesra peniaga serta pengunjung. Kita mahu melihat sendiri keadaan sebenar, bukan sekadar menerima laporan,” katanya.

Beliau menegaskan, aspek keselamatan dan keselesaan orang ramai perlu sentiasa diberi keutamaan, lebih-lebih lagi di kawasan tumpuan seperti Masjid India dan Jalan TAR yang saban tahun menerima kehadiran pengunjung yang ramai menjelang Aidilfitri.

Sepanjang sesi walkabout, beliau turut mendapatkan maklum balas secara terus daripada para peniaga berkaitan isu operasi, kemudahan dan cabaran semasa.
Katanya, interaksi dua hala itu penting bagi memastikan pengurusan bazar bukan sahaja mematuhi garis panduan pihak berkuasa tempatan, malah mengambil kira kebajikan dan keperluan peniaga kecil.

“Apabila kita turun sendiri dan mendengar pandangan peniaga, kita dapat menilai dengan lebih tepat penambahbaikan yang perlu dilaksanakan. Matlamat kita jelas, iaitu memastikan bazar ini terurus dengan baik, selamat dan memberi pengalaman yang positif kepada semua,” ujarnya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO