ADUN Mahkota Terus Santuni Rakyat Sepanjang Ramadan
KUALA LUMPUR, 5 Mac – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mahkota, Syed Hussien Syed Abdullah meneruskan khidmat bakti beliau di kawasan dengan menyantuni penduduk yang memerlukan, khususnya mereka yang sedang berdepan ujian kesihatan.
Terbaharu beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kluang pada semalam berkesempatan menziarahi seorang mangsa kemalangan jalan raya di Taman Sri Kluang.
“Saya ke Taman Sri Kluang untuk melawat Farizal yang terlibat dalam kemalangan jalan raya baru-baru ini dan telah mengakibatkan tulang lutut beliau hancur.
“Pihak hospital memberitahu, Faizal perlu berehat beberapa bulan untuk pulih kembali. Saya doakan Faizal dan isteri kekal tabah hadapi ujian di bulan Ramadan ini.
“Semoga cepat sembuh dan kembali sihat,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Beliau seterusnya berbesar hati mengunjungi Bazar Ramadan Taman Makmur bagi menyantuni para peniaga serta menzahirkan sokongan terhadap usaha mereka mencari rezeki.
Syed Hussien dalam pada itu mengharapkan agar para peniaga terus diberikan kekuatan dan kelancaran dalam menjalankan perniagaan, lebih-lebih lagi dalam suasana ekonomi yang mencabar.
“Pada belah petang, saya bersama Ketua Kampung, Kampung Baru Tok Nazreel dan Abg Din Ketua UMNO Cawangan Kampung Baru ke Bazar Ramadan Taman Makmur bagi mengedarkan buah kurma dan apron kepada para peniaga.
“Alhamdulillah, semua nampaknya masih bersemangat berniaga di bazar. Saya doakan agar semua urusan peniaga di Bazar Ramadan Taman Makmur dipermudahkan,” ujar beliau.
Sementara itu menerusi hantaran berbeza beliau bagi menyempurnakan penyampaian Bantuan Kasih Johor fasa ke-3 bagi kategori Veterinar, Petani dan Penternakan serta Agro Petani Tanaman DUN Mahkota yang berlangsung di Dewan Raya Kampung Melayu.
Beliau berharap bantuan tersebut dapat meringankan beban penerima serta membantu meningkatkan produktiviti golongan petani dan penternak di kawasan berkenaan.
“Alhamdulillah, rezeki mereka semua di bulan Ramadan. Terima kasih diucapkan kepada Kerajaan Negeri Johor dan YAB Menteri Besar Johor di atas pemberian ini.
“Selesai di Kampung Melayu, saya terus ke Surau At-Taqwa Taman Titiwangsa bagi solat isyak dan tarawih berjemaah. Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan lancar untuk hari ini,” katanya lagi. – UMNO Online
