Johan Turun Padang Sepanjang Ramadan, Perkukuh Hubungan Dengan Rakyat

KUALA LUMPUR, 4 Mac – Ketua UMNO Bahagian Hulu Langat, Datuk Johan Abd Aziz memanfaatkan kehadiran Ramadan dengan mempergiatkan khidmat bakti dan mendekati masyarakat di kawasan.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dusun Tua berkata, bulan mulia ini merupakan masa terbaik turun padang dan menyantuni rakyat tanpa mengira latar belakang.

“Alhamdulillah, sepanjang Ramadan ini pelbagai aktiviti dapat dilaksanakan. Inilah masanya untuk kita mendekati masyarakat, sama ada di kawasan kampung mahupun di bandar. Kita menghadiri solat tarawih di surau dan masjid serta beramah mesra bersama penduduk setempat.

“Kawasan yang saya wakili agak luas dengan jumlah surau dan masjid mencecah ratusan. Dengan tempoh hanya 30 hari Ramadan, memang tidak mampu untuk dikunjungi semuanya. Mana yang belum sempat diziarahi, insya-Allah akan kita sambung pada tahun hadapan. Saya sentiasa berusaha untuk pergi ke tempat-tempat yang jarang dikunjungi supaya tiada kawasan yang tercicir,” katanya ketika ditemui UMNO Online

Selain menghadiri solat tarawih di surau dan masjid, beliau turut meluangkan masa mengunjungi bazar Ramadan di sekitar DUN sebagai usaha mendekati peniaga kecil serta penduduk setempat.

Menurutnya, kemeriahan bazar Ramadan di kawasan itu amat memberangsangkan dengan penganjuran di pelbagai lokasi termasuk di taman-taman perumahan, kawasan kampung dan tapak komersial.

“Setakat ini, ada beberapa lokasi telah diziarahi dan insya-Allah dalam baki Ramadan ini saya akan cuba menyantuni lebih banyak peniaga serta pengunjung.

“Sebagai wakil rakyat di Dusun Tua dan penyelaras DUN Semenyih saya sentiasa cuba menyentuh hati dan mendengar sendiri keluhan rakyat. Ramai yang menjemput dan mengalu-alukan kehadiran dan saya amat menghargainya.” ujar beliau. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO