Program Ihya’ Ramadan dan Ziarah Kasih Eratkan Ukhuwah Warga Tampin

TAMPIN, 4 Mac – Ahli Parlimen Tampin, Datuk Mohd Isam Mohd Isa terus aktif mendekati masyarakat setempat menerusi gerak kerja dan program turun padang yang berlangsung dalam suasana penuh ukhuwah dan kebersamaan sempena Ramadan.

Ujarnya, Program Ihya’ Ramadan – Kacau Dodol Cair yang diadakan di Gemencheh berlangsung meriah dengan penyertaan ahli Perkumpulan Perempuan (WI) Cawangan Gemencheh dan Puteri UMNO Bahagian Tampin yang bukan sahaja menghidupkan tradisi kacau dodol, malah menjadi medan merapatkan hubungan dalam kalangan komuniti setempat.

Menurut beliau, program seumpama itu memberi ruang kepada masyarakat untuk berkumpul dan memperkukuh silaturahim sepanjang bulan yang penuh keberkatan ini.

“Selain menghidupkan tradisi kacau dodol, program ini menjadi ruang untuk kita berjumpa, bersembang dan mengeratkan lagi hubungan sesama kita sepanjang Ramadan. Semoga usaha kecil ini membawa keberkatan dan terus menguatkan ukhuwah dalam komuniti kita,” katanya.

Dalam program berasingan, beliau turut berkesempatan bersama warga Unit Cawangan Khas IPD Tampin dalam Program Ziarah Kasih dan Majlis Iftar yang berlangsung dalam suasana penuh harmoni.

Pada kesempatan itu, beliau menziarahi beberapa anggota serta ahli keluarga yang kurang sihat dan menyampaikan sumbangan sebagai tanda sokongan dan keprihatinan.

Antara penerima sumbangan ialah SJN/D Sumari Sulaiman, Puan Manisah Samat (isteri kepada SJN/D Abdul Halim Md Yusof) serta Puan Raihana Kamdani (isteri kepada KPL/D Ahmad Azali Bulin).

Turut diraikan ialah persaraan SJN (B) Mohd Nizam Mohd Sariffee serta pertukaran SJN/D Sundramurthi a/l Angamuthu.

Mohd Isam menzahirkan penghargaan atas segala khidmat bakti dan pengorbanan warga keselamatan dalam menjaga keamanan daerah.

“Terima kasih atas segala khidmat bakti dan pengorbanan yang dicurahkan. Semoga ukhuwah ini terus kekal erat dan semua anggota sentiasa diberi kekuatan dalam menjalankan amanah menjaga keselamatan masyarakat,” ujarnya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO