#GerikDiHatiku: Perbanyak Amal, Perkukuh Ukhuwah Sempena Ramadan
KUALA LUMPUR, 4 Mac – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berharap agar Ramadan yang berbaki lagi 16 hari ini digunakan sebaiknya untuk memperbanyakkan amal dan memperkukuhkan ukhuwah.
Menerusi hantaran di laman Facebooknya, beliau yang juga Pengerusi MARA telah meluangkan masa selama dua hari untuk menyantuni rakyat tempatan di Gerik.

“Alhamdulillah, dapat meluangkan masa selama dua hari yang amat padat di Gerik bagi bersama-sama dengan penduduk tempatan sekitar Parlimen Gerik.
“Petang semalam saya menziarahi beberapa lokasi termasuk Taman Air Suda, Kuala Rui, Kampung Bersia Lama, Bandariang, Kerunai dan Kampung Plang untuk menyantuni mereka yang diuji oleh musibah.
“Semoga Allah SWT mengurniakan kekuatan dan mempermudahkan segala urusan mereka. Saya juga sempat menyantuni peniaga dan pengunjung di bazar Ramadan Pengkalan Hulu sambil berkongsi rezeki serta bertanya khabar.
“Usai tarawih, saya memenuhi jemputan moreh di kediaman Che Lah, Ketua Zon UMNO Klian Intan di Kampung Pahit bersama penduduk setempat. Dalam suasana santai penuh ukhuwah, kami bertukar pandangan dan saya mendengar sendiri hasrat serta isu yang dihadapi masyarakat tempatan di sini,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau turut berkesempatan untuk bersahur dan solat Subuh secara berjemaah bersama anggota tentera di Kem 3RS pada pagi ini.
“Awal pagi ini, berkesempatan sahur dan Subuh berjemaah bersama anggota tentera di Kem 3RS, Pengkalan Hulu. Kemudian meneruskan kunjungan menyantuni anggota polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik dan tentera di Kem 4RS sambil berkongsi rezeki tanda ingatan di bulan Ramadan yang mulia ini.
“Terima kasih kepada seluruh anggota barisan hadapan yang menjaga keamanan dan kedaulatan negara.

“Sempat juga bersama Pengerusi-Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Parlimen Gerik, bagi penyampaian bakul makanan kepada golongan yang memerlukan. Insya-Allah, berbaki 16 hari Ramadan ini, semoga kita semua terus memperbanyak amal dan memperkukuh ukhuwah,” katanya lagi. – UMNO Online
