Menteri Besar Johor Tinjau Bazar Ramadan Nusa Perintis, Pastikan Harga Mesra Rakyat

JOHOR BAHRU, 4 Mac – Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menegaskan komitmen Kerajaan Negeri dalam memastikan rakyat mempunyai akses kepada juadah berbuka puasa pada harga berpatutan dan berkualiti sepanjang Ramadan ini.

Beliau berkata, dalam suasana ekonomi yang mencabar, keseimbangan antara kebajikan pengguna dan kelangsungan peniaga kecil perlu sentiasa dipelihara.

“Saya ingin memastikan rakyat dapat membeli juadah berbuka pada harga yang mesra rakyat, manakala peniaga kecil pula tidak terbeban dengan kos operasi yang tinggi. Keseimbangan ini amat penting dalam keadaan ekonomi semasa,” katanya ketika mengunjungi Bazar Ramadan Nusa Perintis di kawasan Gelang Patah, semalam.

Menurut beliau, bazar berkenaan yang menjadi tumpuan masyarakat pelbagai kaum menyediakan sebanyak 131 tapak perniagaan dengan kadar sewa serendah RM270 dan kadar tersebut jauh lebih rendah berbanding kadar asal hasil usaha Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) dalam membantu mengurangkan beban kos peniaga.

Hasil tinjauan, beliau mendapati harga makanan masih dalam kawalan dan berpatutan. Antaranya, murtabak daging dan ayam dijual pada harga RM5, jus buah segar tiga bungkus RM10, air balang serendah RM3, sate daging dan ayam RM1 secucuk serta aneka kuih serendah 50 sen sebiji.

“Alhamdulillah, saya dapati harga makanan di sini masih terkawal. Ini membuktikan peniaga kita berusaha mengekalkan harga yang berpatutan walaupun berdepan peningkatan kos bahan mentah,” katanya.

Beliau turut menekankan bahawa rakyat perlu mempunyai pilihan mengikut kemampuan masing-masing, manakala peniaga kecil terus dibantu agar dapat berniaga tanpa tekanan kos yang melampau.

Kerajaan Negeri, katanya, akan terus memperkukuh inisiatif menyokong usahawan kecil supaya manfaatnya dirasai secara langsung oleh rakyat.

“Semoga Ramadan ini bukan sahaja membawa keberkatan kepada kita semua, tetapi turut mengukuhkan ekonomi Bangsa Johor. Insya-Allah,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO