Perbezaan Politik Bukan Alasan Berpecah, Ahmad Razif Sokong ‘Rumah Bangsa’

KUALA LUMPUR, 6 Mac – Ketua UMNO Bahagian Kuala Nerus, Datuk Seri Dr Ahmad Razif Abdul Rahman menyatakan sokongan penuh terhadap gagasan ‘Rumah Bangsa’ yang diutarakan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai usaha memperkukuh perpaduan umat Melayu Islam di negara ini.

Menurut beliau, gagasan tersebut merupakan satu pendekatan penting dalam usaha menyatukan kekuatan umat Melayu Islam selain mempertahankan kepentingan Islam dan Bumiputera dalam landskap politik negara.

Ahmad Razif yang juga bekas Menteri Besar Terengganu berkata, beliau secara peribadi melihat idea ‘Rumah Bangsa’ sebagai ruang strategik untuk membina kesepakatan yang lebih kukuh demi masa depan negara yang stabil dan sejahtera.

“Inilah ruang penting untuk kita memperkukuhkan perpaduan, mempertahankan kepentingan Islam dan Bumiputera, serta membina masa depan negara yang lebih stabil dan sejahtera. Demi umat Melayu Islam, kita perlu terus mencari titik persamaan dan bersatu dalam perkara yang melibatkan kepentingan bersama.

“Walaupun dalam sistem demokrasi kita boleh berbeza pandangan dan berlainan ideologi politik, namun demi masa hadapan serta kekuatan umat Melayu Islam di negara ini, semangat kebersamaan dan kesepakatan amat penting.

“Perbezaan tidak seharusnya memecahkan kita, sebaliknya perlu diurus dengan hikmah supaya umat ini terus kuat, dihormati dan mampu mempertahankan kepentingan agama, bangsa dan negara,” katanya.

Terdahulu, dalam satu kenyataan Presiden UMNO yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, mempelawa mana-mana individu yang mahu bersama dengan perjuangan parti itu untuk menyertai UMNO dibawah inisiatif ‘Rumah Bangsa’.

Jawatankuasa Rumah Bangsa yang dipengerusikan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin akan menyelaraskan proses itu dengan segera melalui tatacara yang bersesuaian menurut Perlembagaan UMNO.

Pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 Januari lalu, Ahmad Zahid memaklumkan UMNO menubuhkan sebuah jawatankuasa dirujuk Jawatankuasa Penyatuan Rumah Bangsa untuk menerima kembali mana-mana bekas ahli. Penyertaan semula itu boleh secara individu atau en bloc. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO