Program Ihya’ Ramadan DUN Jeram Padang Erat Ukhuwah, Santuni Asnaf
JEMPOL, 3 Mac – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram Padang, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir, terus komited memperkukuh semangat kebersamaan dan keprihatinan dalam kalangan masyarakat dengan menyemarakkan Program Ihya’ Ramadan Kawasan DUN Jeram Padang yang berlangsung di Surau Taman Seri Rompin, semalam.
Program yang diadakan sempena bulan Ramadan itu menghimpunkan penduduk setempat dalam suasana penuh harmoni, sekali gus menjadi platform mempereratkan silaturrahim serta menyantuni golongan asnaf yang memerlukan perhatian dan bantuan.

Dalam majlis tersebut, Mohd Zaidy berkesempatan menyampaikan 20 kotak makanan sumbangan daripada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kepada golongan asnaf sebagai tanda sokongan dan keprihatinan berterusan kerajaan terhadap kebajikan rakyat.
Menurut beliau, Ramadan bukan sekadar bulan menahan lapar dan dahaga, sebaliknya medan terbaik untuk menyemai nilai kasih sayang, empati dan solidariti sesama insan.
“Ramadan mengajar kita untuk lebih memahami kehidupan orang lain. Apabila kita berkongsi rezeki dan menyantuni golongan asnaf, kita bukan sahaja meringankan beban mereka, tetapi turut menyuburkan rasa syukur dan kebersamaan dalam diri kita,” katanya kepada UMNO Online.
Beliau menambah bahawa usaha mendekati masyarakat melalui program seumpama ini amat penting dalam memastikan tiada golongan yang tercicir daripada arus pembangunan dan kebajikan.
“Kita mahu DUN Jeram Padang dikenali sebagai kawasan yang masyarakatnya bersatu hati, saling membantu dan sentiasa mengambil berat antara satu sama lain. Ramadan adalah ruang terbaik untuk kita memperkukuhkan ikatan silaturrahim ini,” ujarnya lagi.
Program ini kemudiannya diteruskan dengan majlis berbuka puasa bersama masyarakat setempat yang menyaksikan kehadiran pelbagai lapisan umur, daripada kanak-kanak hingga warga emas.
Selepas berbuka puasa, para hadirin menunaikan solat Maghrib secara berjemaah, diikuti solat Isyak dan solat Terawih.

“Inilah nilai kesatuan yang mencerminkan semangat kebersamaan dan kecintaan masyarakat terhadap penghayatan ibadah sepanjang bulan yang mulia ini.
“Program Ihya’ Ramadan ini bukan sahaja untuk mengimarahkan bulan Ramadan dengan ibadah dan amal kebajikan, malah menjadi jambatan yang menghubungkan hati-hati masyarakat dalam satu semangat persaudaraan yang utuh.
“Semoga segala usaha murni ini menjadi asbab kebaikan, memperkukuh perpaduan komuniti serta terus menyemarakkan semangat prihatin dan kasih sayang dalam kalangan warga DUN Jeram Padang, bukan sahaja di bulan Ramadan, tetapi sepanjang masa,” katanya.
Majlis diakhiri dengan moreh dalam suasana santai namun penuh makna, memberi peluang kepada penduduk untuk beramah mesra dan bertukar pandangan secara lebih dekat bersama wakil rakyat mereka. – UMNO Online
