Ab Rauf Tinjau Kesesakan Di Solok Duku, Tegaskan Komitmen Demi Keselamatan Rakyat

MASJID TANAH, 3 Mac 2026 – Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh telah turun padang meninjau sendiri masalah kesesakan lalu lintas di lampu isyarat Solok Duku, Masjid Tanah yang sering dibangkitkan pengguna jalan raya terutama pada waktu puncak.

Tinjauan berkenaan dibuat susulan aduan orang ramai berhubung keadaan trafik yang semakin meruncing di laluan tersebut, semalam.

Beliau turut meneliti isu lalu lintas di Jalan Londang – Tanjung Bidara sebelum meneruskan lawatan ke lokasi kedua pada sebelah petang.

Menurut Ab Rauf, setiap aduan rakyat tidak akan dipandang ringan dan akan ditangani secara menyeluruh dengan kerjasama semua agensi berkaitan.

“Saya mahu melihat sendiri keadaan sebenar di lapangan. Komitmen Kerajaan Negeri Melaka jelas di mana keutamaan kami adalah keselesaan dan keselamatan rakyat. Setiap permasalahan didengar, setiap isu dicari jalan penyelesaian,” katanya.

Turut hadir dalam sesi tinjauan itu ialah YB Datuk Hameed Basheer serta wakil agensi terlibat termasuk Pejabat Daerah dan Tanah Alor Gajah, Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Melaka, Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ab Rauf telah mengarahkan pihak berkaitan khususnya JKR Melaka supaya menyediakan strategi penyuraian trafik yang komprehensif sebagai langkah interim bagi mengurangkan kesesakan sementara menunggu pelaksanaan laluan baharu yang menghubungkan Sungai Udang dan Masjid Tanah yang telah diluluskan.

Tegas beliau, pendekatan turun padang akan terus diamalkan bagi memastikan setiap isu rakyat ditangani secara efektif dan berimpak tinggi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO