Moreh Santai Lima Generasi Pemuda UMNO Pekan Perkukuh Penyatuan – Tok Mie

KUALA LUMPUR, 2 Mac – Program moreh santai Lima Generasi  Pemuda UMNO Bahagian Pekan bukan sahaja menjadi medan santai sempena Ramadan, malah turut dimanfaatkan sebagai platform perbincangan strategik dalam usaha memperkasakan parti di peringkat bahagian.

Timbalan Ketua  UMNO Bahagian Pekan, Dato’ Ahmad Rahimi Abdul Samad yang pernah menjadi ketua pemuda UMNO Bahagian Pekan sesi 2005-2009 berkata, pertemuan selepas solat tarawih itu menyatukan Ketua Pemuda Bahagian semasa, saudara Fakhrul berserta ahli jawatankuasa beliau bersama empat generasi pemuda terdahulu berserta akar umbi dalam suasana penuh ukhuwah dan keterbukaan.

Menurut beliau, perbincangan yang berlangsung secara santai itu berjaya menghimpunkan pelbagai saranan serta pandangan daripada barisan kepimpinan terdahulu yang pernah bergelumang dalam ‘kilang Pemuda’, sekali gus memberi nilai tambah dalam mendepani cabaran politik semasa di Pekan.

“Pertemuan malam tadi menjadi medan bertukar pandangan, berkongsi pengalaman serta menyatukan fikrah antara generasi lama dan baharu dalam keluarga besar UMNO Bahagian Pekan.

“Ramadan membuktikan bahawa perjuangan tidak pernah terhenti, bahkan terus subur dengan semangat kebersamaan,” katanya kepada UMNO-Online.

Tambah beliau, antara dapatan utama perbincangan malam tersebut ialah kepentingan pimpinan bahagian mendengar isi hati akar umbi termasuk berkaitan gerak kerja ke hadapan, pelantikan penyelaras Dewan  Negeri serta pemilihan calon pilihan raya agar kesilapan lalu tidak berulang.

Beliau berharap pertemuan berkenaan menjadi asbab penyatuan hati, memperkukuh silaturrahim serta menguatkan iltizam untuk terus istiqamah berkhidmat kepada agama, bangsa dan masyarakat.

“Kita amat berharap lebih ramai mantan pemuda akan tampil bersama  untuk membantu menebus kembali kekalahan kerusi Dewan Negeri (DN) Pulau Manis sambil mengekalkan kerusi DN sedia ada serta parlimen Pekan.

“Bagaimanapun pada akhirnya kami akan tetap akur atas apa jua keputusan pimpinan bahagian mahupun negeri ” ujarnya sambil menzahirkan keyakinan bahawa percantuman hati dan jiwa yang terjalin akan membawa kekuatan baharu kepada UMNO Bahagian Pekan.- UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO