Selamat Menyambut Hari MARA ke-60 – Ahmad Zahid
KUALA LUMPUR, 1 Mac – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengucapkan Selamat Menyambut Hari Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang ke-60.
Menerusi hantaran di laman Facebooknya, beliau menegaskan bahawa MARA dilahrikan sebagai manifestasi untuk mengubah nasib dan masa depan Bumiputera.

“Tanggal 1 Mac 1966, lahirnya MARA sebagai manifestasi tekad negara untuk mengubah nasib dan masa depan Bumiputera. Enam dekad kemudian, MARA berdiri sebagai institusi yang telah membuka jutaan pintu peluang dalam melahirkan generasi profesional, usahawan, tenaga mahir dan pemimpin yang menyumbang kepada kemajuan negara.
“Di sebalik setiap kisah kejayaan, ada peranan MARA yang membina keyakinan, membentuk keupayaan dan membuka jalan kepada kehidupan lebih baik. MARA telah menjadi jambatan harapan, mengubah potensi menjadi pencapaian dan impian menjadi realiti.
“Hari ini, MARA kekal kukuh dan relevan sebagai pemacu pembangunan Bumiputera, selari dengan tuntutan zaman yang semakin mencabar dan kompetitif. Peranannya akan terus diperkasa bagi memastikan lebih ramai anak bangsa mampu melangkah lebih jauh dan berdiri sama tinggi di pentas dunia,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berharap agar MARA terus melangkah maju dalam membina legasi yang lebih besar.
“Saya merakamkan penghargaan kepada seluruh warga MARA, dahulu dan kini, atas dedikasi dan khidmat yang telah mencipta begitu banyak kisah kejayaan.
“Semoga MARA terus melangkah maju dalam membina legasi yang lebih besar dan menjadi simbol kekuatan dan masa depan Bumiputera. Insya-Allah,” katanya lagi. – UMNO Online
