Musyawarah Nasional Himpun Tokoh Masyarakat Teliti Isu Teras Negara
KUALA LUMPUR, 27 Feb – Pengerusi Musyawarah Nasional, Tan Sri Abdul Ghani Othman berkata penubuhan organasasi ini sebagai langkah penting dalam menyediakan ruang muafakat strategik bagi menghimpunkan pelbagai tokoh masyarakat, ilmuwan, profesional, pemain industri dan wakil masyarakat sivil untuk meneliti isu-isu teras negara.
Beliau berkata inisiatif itu berpaksikan pengumuman Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam ucapan dasar Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025, yang menekankan keperluan mewujudkan ruang dialog tersusun bagi merumuskan hala tuju bangsa dan negara secara inklusif dan bersepadu.

“Inisiatif ini berteraskan semangat musyawarah, iaitu budaya dialog beradab yang berasaskan rasionaliti, berpandukan fakta, serta menuntut tanggungjawab bersama dalam merumus penyelesaian terhadap cabaran semasa negara.
“Musyawarah Nasional ialah ruang perundingan dasar yang memfokuskan pembinaan kesepakatan serta penghasilan cadangan yang praktikal dan boleh dilaksanakan demi memartabatkan pembangunan bangsa,” katanya menerusi satu kenyataan.
Menurut beliau lagi, antara bidang tumpuan utama termasuklah pembangunan insan dan pendidikan, pemerkasaan ekonomi, pengukuhan institusi masyarakat serta usaha mempertingkat kesejahteraan sosial secara menyeluruh.
Abdul Ghani turut memaklumkan pendekatan yang diambil menekankan peralihan daripada perbincangan kepada tindakan, agar setiap resolusi yang dicapai mempunyai pelan pelaksanaan, garis masa dan ukuran kejayaan yang jelas.
“Bagi memastikan usaha ini bergerak secara tersusun, sebuah Sekretariat Musyawarah Nasional akan menyelaras agenda dialog, penyelidikan dasar, libat urus pemegang taruh serta pelaksanaan inisiatif rintis yang akan dinilai impaknya secara berkala.
“Langkah ini bertujuan memastikan setiap cadangan yang dihasilkan memberi manfaat nyata kepada masyarakat dan negara. Dalam suasana dunia yang semakin mencabar, negara memerlukan lebih banyak ruang dialog yang matang dan membina.
“Musyawarah Nasional ini diharap dapat menjadi wadah memperkukuh persefahaman, merapatkan jurang pandangan serta menyumbang kepada pembinaan masa depan Malaysia yang lebih stabil, inklusif dan sejahtera,” ujar beliau. – UMNO Online
