Wanita UMNO Terus Imarah Ramadan Melalui Tadarus Al-Quran

KUALA LUMPUR, 27 Feb – Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, menzahirkan kesyukuran di atas kejayaan Majlis Tadarus dan Khatam Al-Quran Perdana anjuran Wanita UMNO Malaysia malam tadi.

Beliau yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata ini kerana program tahunan itu terus mendapat sambutan menggalakkan dengan kehadiran wanita dari seluruh negara bagi menjayakan tadarus tersebut.

“Alhamdulillah, program tadarus ini kita laksanakan setiap tahun dan pada kali ini berjaya menghimpunkan wanita-wanita dari seluruh Semenanjung Malaysia, malah ada juga yang datang dari Sabah.

“Ini sahaja kita melihat kehadiran hampir 800 orang, malah mungkin lebih, yang datang berkumpul dari seluruh Malaysia bagi menjayakan program ini,” katanya.

Noraini menambah, penganjuran program seumpama itu bukan sahaja menghidupkan amalan bertadarus yang sangat digalakkan dalam bulan Ramadan, malah turut berperanan mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan ahli UMNO.

“Program ini sangat baik kerana ia menghimpunkan wanita dari pelbagai tempat. Ia bukan sahaja mengeratkan silaturahim, malah memastikan kita tidak meninggalkan amalan ini.

“Sempena bulan Ramadan yang mulia ini, amalan bertadarus amat digalakkan kerana ia mendekatkan kita dengan al-Quran di samping memperkukuhkan ukhuwah sesama kita,” ujarnya.

Dilaksanakan di Dewan Tun Razak 3, Pusat Dagangan Dunia malam tadi, tadarus tersebut dipimpin oleh Ustazah Farhatul Fairuzah, sebelum diakhiri dengan alunan selawat.

Peserta tadarus kemudiannya menyertai majlis berbuka puasa bersama Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang turut disertai oleh barisan exco Wanita UMNO Malaysia. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO