UMNO Sabah 35 Tahun, Jamal Nerubi Tekankan Kematangan… Teruskan Khidmat Untuk Rakyat

PAPAR, 26 Feb – Ketua UMNO Bahagian Papar, Datuk Jamal Nerubi, menegaskan bahawa ulang tahun ke-35 UMNO Sabah menjadi simbol kematangan dan keteguhan parti itu dalam menyumbang khidmat bakti kepada pembangunan negeri Sabah sejak penubuhannya di negeri ini pada tahun 1991.

Menurut beliau, tempoh 35 tahun bukanlah satu jangka masa yang singkat, sebaliknya ia mencerminkan perjalanan panjang yang sarat dengan pengalaman, cabaran dan pengorbanan dalam memperjuangkan nasib rakyat Sabah.

“Angka 35 tahun ini memberi gambaran bahawa UMNO cukup matang dan berpengalaman dalam menyumbang khidmat bakti kepada pembangunan negeri Sabah. Kita telah melalui pelbagai fasa daripada era pembangunan asas sehinggalah kepada usaha memperkukuh ekonomi dan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Tambah beliau, kehadiran UMNO di Sabah sejak 1991 bukanlah sesuatu yang dipaksakan, sebaliknya lahir atas kehendak dan sokongan rakyat negeri ini yang mahukan wadah perjuangan demi membela kepentingan masyarakat secara holistik.

Beliau turut menekankan bahawa sepanjang tiga dekad setengah itu, UMNO Sabah telah memainkan peranan penting dalam memperjuangkan isu-isu asas seperti pembangunan infrastruktur, kemudahan pendidikan, peluang ekonomi dan kesejahteraan luar bandar.

“Perjuangan kita tidak pernah lari daripada fokus utama iaitu membela rakyat. Kita sentiasa memastikan setiap dasar dan perancangan mengambil kira kepentingan rakyat Sabah, khususnya di kawasan luar bandar yang memerlukan perhatian berterusan,” katanya lagi.

Mengulas mengenai cabaran politik semasa, beliau berkata UMNO Sabah akan terus memperkukuh perpaduan dalaman dan mempererat hubungan dengan masyarakat pelbagai kaum demi memastikan kestabilan politik negeri terus terjamin.

“Dalam suasana politik yang semakin mencabar, kematangan parti amat penting. UMNO Sabah akan terus bergerak ke hadapan dengan pendekatan yang inklusif dan sederhana, demi memastikan pembangunan negeri ini tidak terjejas,” tegasnya.

Beliau berharap ulang tahun ke-35 UMNO Sabah menjadi titik tolak baharu untuk memperkukuh tekad dan komitmen seluruh ahli parti dalam memperjuangkan agenda pembangunan negeri.

“Kita mahu UMNO Sabah terus relevan, terus dipercayai dan terus menjadi wadah perjuangan rakyat. Dengan pengalaman 35 tahun ini, kita yakin mampu melangkah lebih jauh demi masa depan Sabah yang lebih makmur dan sejahtera,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO