Isu Hina Al-Quran: Mahasiswa Diingat Pelihara Adab, Hormati Sensitiviti Agama

KUALA LUMPUR, 26 Feb – Pengarah Sekretariat Mahasiswa Anak Pahang, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin kesal dengan tindakan seorang pelajar Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) yang mencemarkan kesucian Al-Quran.

Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO berkata sebagai sebuah organisasi yang mewakili suara mahasiswa di negeri Pahang, pihaknya menegaskan bahawa sebarang bentuk penghinaan terhadap agama, kaum dan institusi merupakan tindakan yang tidak boleh diterima sama sekali.

“Malaysia merupakan sebuah negara yang berteraskan prinsip Rukun Negara dan menjunjung tinggi Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan.

“Mahasiswa seharusnya menjadi contoh kepada masyarakat dalam memelihara adab, akhlak serta nilai hormat-menghormati antara satu sama lain.

“Kebebasan bersuara bukanlah lesen untuk menghina atau mencetuskan provokasi yang boleh menggugat keharmonian masyarakat,” katanya menerusi satu kenyataan.

Shahaniza turut memaklumkan bahawa pihaknya menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan secara adil dan telus mengikut lunas undang-undang.

Dalam masa yang sama, beliau menggesa semua pihak agar tidak mengambil tindakan melulu, menyebarkan spekulasi atau memainkan sentimen yang boleh mengeruhkan keadaan.

“Sekretariat Mahasiswa Negeri Pahang komited untuk terus memperkukuh kesedaran dalam kalangan mahasiswa mengenai tanggungjawab sosial, etika penggunaan media sosial serta kepentingan menjaga keharmonian antara agama dan kaum.

“Semoga isu ini menjadi pengajaran kepada semua agar lebih berhati-hati dalam setiap tindakan dan perkongsian, khususnya di platform digital,” ujar beliau.

Sementara itu Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othma, memaklumkan penuntut terbabit ditahan awal pagi semalam untuk siasatan lanjut.

Terdahulu pada kelmarin tular gambar kaki seorang lelaki dewasa memijak al-Quran dan tangkap layar hantaran individu didakwa penuntut UMPSA di media sosial.

Turut tular gambar lelaki terbabit dan tangkap layar komen menghina Nabi Muhammad SAW. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO