Program Ihya Ramadhan Dun Jeram Padang Meriah, Bantuan Asnaf & Warga Emas Disalur

JEMPOL, 26 Feb – Program Ihya Ramadan Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram Padang telah berlangsung dengan penuh meriah di Masjid Felda Palong 2, baru-baru ini, menghimpunkan masyarakat setempat dalam suasana ukhuwah dan kebersamaan.

ADUN Jeram Padang, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir berkata, program tersebut bukan sahaja mengimarahkan bulan Ramadan, malah menjadi platform menyantuni golongan memerlukan di kawasan berkenaan.

Majlis itu turut dihadiri tetamu khas iaitu Ahli Parlimen Jempol, Datuk Shamshulkahar Mohd Deli, yang juga Pengerusi Kolej Poly-Tech MARA (KPTM).

Menurut Mohd Zaidy, Pusat Khidmat DUN Jeram Padang telah menyampaikan kotak makanan kepada 30 asnaf dari Felda Palong 2, manakala Shamshulkahar mewakili KPTM menyampaikan sumbangan kepada 96 penerima asnaf melibatkan seluruh kawasan DUN Jeram Padang.

Selain itu, bantuan warga emas sebanyak RM200 seorang turut diagihkan kepada 230 penerima dengan jumlah keseluruhan peruntukan sebanyak RM46,000.

Dalam majlis sama, Shamshulkahar turut menyumbangkan RM30,000 kepada Masjid Felda Palong 2 serta menaja majlis berbuka puasa berjumlah RM6,000.

“Alhamdulillah, program ini bukan sahaja mengimarahkan Ramadan, tetapi menjadi medan untuk kita berkongsi rezeki dan menyantuni golongan asnaf serta warga emas. Semoga segala usaha dan sumbangan ini diberkati serta memberi manfaat kepada seluruh masyarakat,” kata Mohd Zaidy.

Usai berbuka puasa, para hadirin bersama-sama menunaikan solat Isyak dan solat sunat Terawih sebelum menikmati jamuan moreh dalam suasana harmoni dan penuh keberkatan.

Mohd Zaidy turut merakamkan penghargaan kepada barisan kepimpinan Felda Palong 2 termasuk pihak masjid, UMNO, FELDA, JPKK, JKKR, GPW, MBFM, KAF, koperasi, RELA serta jawatankuasa Tanah Wakaf yang bertungkus-lumus menjayakan program berkenaan.

Beliau juga menzahirkan ucapan terima kasih kepada Shamshulkahar dan pihak KPTM kerana memilih Masjid Felda Palong 2 sebagai lokasi majlis berbuka puasa serta kepada seluruh masyarakat yang hadir memeriahkan Program Ihya Ramadan kali ini. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO