Lima Bahagian Bersatu Melaka Bubar… Bukti Parti Itu Hilang Arah – Haryaty

MELAKA, 26 Feb – Pelantikan baharu Ketua Badan Pimpinan Negeri Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Melaka disifatkan bukan sebagai tanda kebangkitan, sebaliknya mencerminkan krisis dalaman yang semakin meruncing.

Ketua Penerangan Wanita UMNO Melaka, Datuk Haryaty Hamdzah berkata, pembubaran lima daripada enam bahagian Bersatu di negeri itu bukan isu kecil, malah menggambarkan runtuhnya kepercayaan akar umbi terhadap kepimpinan parti berkenaan.

Menurut beliau, tindakan melakukan “penstrukturan semula” tidak lebih daripada usaha menyelamatkan parti yang semakin hilang tapak di bumi Melaka.

“Pelantikan ini bukan petanda kebangkitan. Ia umpama parti yang sedang kehilangan arah dan sudah kehilangan kepimpinan asal penubuhannya. Lima daripada enam bahagian bubar – itu bukan angka kecil. Itu runtuhnya kepercayaan,” katanya dalam satu kenyataan berkaitan hal terbabit.

Beliau turut mengimbau kembali episod lalu apabila sebahagian kepimpinan parti tersebut merupakan bekas pemimpin UMNO yang meninggalkan parti ketika berdepan ujian.

“Satu ketika dulu ada segelintir dalam kepimpinan itu merupakan pemimpin kami. Mereka lari ketika UMNO diuji. Mereka hina dan perlekehkan kami. Namun kami masih di sini, kekal dalam perjuangan sama ada ketika senang atau sukar,” tegasnya.

Tambah beliau lagi, ironi terbesar adalah apabila suatu ketika dahulu Bersatu melaungkan keyakinan untuk menggantikan UMNO dan mendakwa parti itu sudah tidak lagi relevan.

“Dahulu mereka berjanji mahu menggantikan UMNO. Hari ini UMNO masih berdiri. Yang goyah ialah mereka. Inilah kifarahnya,” katanya.

Haryaty menyifatkan keadaan Bersatu Melaka kini ibarat ‘rumah yang dicat baharu di luar tetapi rangkanya sudah reput di dalam’ kelihatan indah pada poster, namun rapuh pada realiti sebenar.

Beliau turut mempersoalkan keputusan kepimpinan pusat Bersatu yang tidak memilih satu-satunya bahagian yang masih kekal, iaitu Bersatu Kota Melaka, untuk mengemudi parti itu di negeri berkenaan.

“Hanya satu kepimpinan bahagian sahaja yang tinggal. Mengapa tidak dipilih kepimpinan itu untuk menerajui parti di Melaka? Sah, Bersatu Pusat sendiri tidak yakin dengan saki baki yang ada,” ujarnya.

Dalam masa sama, beliau menegaskan bahawa Wanita UMNO Melaka akan terus bekerja dan berkhidmat kepada rakyat tanpa gentar, kerana kekuatan parti itu terletak pada akar umbi dan jentera yang setia, bukan sekadar slogan.

Menurutnya, rakyat Melaka memerlukan kestabilan politik yang kukuh dan bukan eksperimen yang masih bergelut menyelamatkan diri sendiri.

“Hakikatnya, kestabilan tidak lahir daripada eksperimen politik. Rakyat Melaka perlukan kepimpinan yang jelas hala tujunya,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO